English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

January 03, 2018 21:10 PM

Tidak Sampai Dua Jam, Air Banjir Paras Lutut

KEMAMAN, 3 Jan (Bernama) -- "Tadi masa sibuk mengemas rumah, air di luar paras buku lali, dalam masa tidak sampai dua jam mencecah ke paras lutut," kata seorang daripada penduduk di Kampung Batu 14, di sini.

Mizuwar Rasyida Zakaria, 25, berkata banjir bukanlah perkara asing baginya kerana rumahnya memang berdekatan dengan lembah sungai tetapi kali ini ia lebih pantas daripada kebiasaan.

"Di depan rumah saya ini Sungai Tebak, di belakang rumah pula Sungai Kemaman jadi bukan benda pelik kalau banjir...tetapi ia jadi suatu yang luar biasa kalau tidak banjir.

"Tiap-tiap tahun memang bersedia untuk hadapi banjir walaupun hujan tidak lebat, kadangkala banjir datang mengejut sebab walaupun di kawasan kami tidak hujan...tapi aliran air sungai dari hulu yang menjadi punca banjir," kata gadis itu kepada Bernama di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Muslim Abu Bakar, 31, berkata beliau menyedari air memasuki rumahnya ketika bangun untuk solat subuh.

"Saya bangun tidur, saya tengok air sudah laju masuk ke dalam rumah...segera saya kejutkan isteri dan anak berusia tiga tahun dan tujuh bulan untuk berpindah di rumah emak di sebelah rumah kerana rumahnya lebih tinggi berbanding rumah saya.

"Alhamdulillah barang sudah saya kemaskan semua kerana kalau banjir kebiasaannya rumah saya hanya nampak atap sahaja...boleh dikatakan kalau dalam kampung ini kawasan rumah saya yang paling rendah...sekarang inipun ada sedikit lagi barang untuk saya letakkan di atas loteng rumah," katanya.

Tambah Muslim sudah tiga tahun beliau dan isterinya tinggal di kawasan tersebut dan buat masa sekarang tidak terfikir untuk berpindah.

Muslim dan keluarganya merupakan keluarga pertama yang berpindah ke pusat pemindahan di kampung tersebut.

-- BERNAMA

 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel