English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

January 03, 2018 20:00 PM

Jangan Berulang Kejadian 2013

KUANTAN, 3 Jan (Bernama) -- Daerah Kuantan yang merupakan daerah paling teruk terjejas banjir di Pahang setakat ini, menjadikan penduduk di sini lebih berwaspada kerana tidak mahu berdepan dengan pengalaman banjir besar 2013.

Kakitangan kerajaan Saifuddin Abdul Rahman, 36, berkata beliau seakan-akan masih dapat merasakan pengalaman berpindah sebanyak tiga kali dalam tempoh seminggu selepas rumahnya di Taman Sri Damai di sini, dinaiki air.

Katanya, semasa itu mereka diarahkan berpindah sebelum dibenarkan pulang sebaik sahaja air surut dan sudah pasti beliau sekeluarga tidak membuang masa untuk kembali ke kediaman sendiri.

"Malangnya baru sehari di rumah, esoknya kena berpindah semula apabila sekali lagi dilanda banjir. Kali kedua dan ketiga juga begitu. Rasa penat sangat kerana perlu membersihkan rumah berulang kali," katanya.

Saifuddin berkata demikian semasa ditemui di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Fakeh Abdul Samad di sini hari ini, yang menjadi 'rumahnya' bersama isteri Tengku Norashikin Tengku Othman, 38, dan dua anak mereka sejak pagi semalam.



Sehubungan itu, beliau berharap kali ini, mereka diberikan peluang untuk benar-benar memastikan keadaan cuaca telah baik dan banjir tidak akan berulang sebelum dibenarkan meninggalkan pusat pemindahan itu.

Sementara itu, pekerja swasta Wan Rosmini Wan Abd Aziz, 42, berkata beliau dan suami membuat keputusan untuk membina para dalam rumah mereka di Taman Sri Damai Aman di sini, selepas kejadian banjir besar dahulu.

Katanya, sejak tinggal di rumah itu pada tahun 2010, mereka sudah lali dengan banjir setiap tahun, namun pengalaman tahun 2013 menyebabkan mereka nekad untuk membuat lebih persiapan kerana tidak mahu kehilangan terlalu banyak barangan.

"Selain para, kami juga bina pelantar yang agak tinggi untuk meletakkan peti sejuk kerana bukan mudah mahu memindahkan barangan itu. Para di sekitar rumah pula akan diletakkan barangan penting lain," katanya.

Wan Rosmini menambah beliau sedar kawasan perumahan itu dinaiki air sekitar pukul 4 pagi semalam, apabila suasana semakin kecoh kerana penduduk mula memindahkan kenderaan mereka ke tempat tinggi.

Selain itu, notifikasi WhatsApp juga tidak berhenti berbunyi kerana kumpulan kejiranan perumahan itu saling bertanya mengenai keadaan air, katanya.

"Saya mula mengumpulkan semua dokumen penting manakala anak-anak yang besar membantu mengemaskan apa yang perlu dibawa. Kami semua seperti sudah tahu apa yang perlu dilakukan kerana pengalaman sebelum ini," katanya.

Bagi Asrawati Alwi, 52, beliau juga bimbang dengan kemungkinan banjir besar berlaku kerana banjir pada tahun ini berlaku secara tiba-tiba dan hujan juga tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti, sama seperti pengalaman banjir besar lalu.

Katanya, beliau dan suaminya, Abdul Latip Tahir, 52, baru sahaja bergurau bahawa mereka tidak perlu berdepan banjir tahun ini, memandangkan setiap tahun rumah mereka yang terletak di Kampung Sri Damai berdepan musibah itu kerana dibina di kawasan rendah.

"Dua hari selepas bercakap begitu, rumah kami terus dinaiki air. Naik kali ini agak cepat juga kerana saya memindahkan barang sebanyak tiga kali ke tempat yang lebih tinggi di dalam rumah kerana rumah kami jenis bertingkat," katanya.

Asrawati menambah sebagai 'orang lama di pusat pemindahan', beliau berpendapat pengurusan semakin baik dan tersusun, sama ada dari segi kebersihan dan penyediaan makanan yang semuanya dilakukan sebaik mungkin.

Katanya, apa yang lebih utama ialah mangsa banjir bersabar kerana semua yang terlibat 'sedaya-upaya melakukan yang terbaik'.

"Kali ini, saya juga demam sebaik sahaja pindah ke pusat pemindahan dan baiknya apabila kakitangan kesihatan turut melakukan pemeriksaan kesihatan. Jadi tidak perlu ke klinik kerana semuanya dilakukan di sini," katanya.

-- BERNAMA

 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel