English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

January 02, 2018 23:16 PM

Kerajaan Akan Terus Usahakan Perlindungan Insurans Kepada Mangsa Banjir

DUNGUN, 2 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan terus berunding dengan syarikat insurans bagi memberi perlindungan insurans kepada mangsa banjir di seluruh negara oleh kerana beberapa syarat yang dikenakan oleh syarikat insurans setakat ini tidak dapat dipenuhi manakala skim yang ditawarkan pula tidak bersesuaian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata syarikat insurans tidak dapat menerima skim yang dicadangkan kerajaan disebabkan mereka mahu perlindungan insurans itu diberi kepada kesemua mangsa banjir selain meminta supaya dinyatakan angka, contohnya, insurans yang diambil itu adalah untuk 500,000 atau 100,000 orang.

"Kita tidak boleh berbuat demikian. Kita hanya ambil insurans untuk kawasan yang kena banjir sahaja dengan cadangan mangsa hanya membayar RM10 dan kerajaan bayar RM67, kerajaan akan tanggung semua.

"Tapi kita masih tidak dapat syarikat insurans untuk masukkan semua sekali kawasan yang ditentukan. Kita juga tak boleh ambil kawasan yang tak banjir, " katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Dewan Orang Ramai Pasir Raja di sini hari ini.

Menurut Shahidan, insurans yang telah ditawarkan di Kemaman hanya melibatkan satu syarikat insurans sahaja namun bagi memperluaskan skim itu, kerajaan berhasrat menambah bilangan syarikat.

"Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan terus berbincang selain meminta agar syarikat berkenaan tidak meletakkan jumlah dan berharap rundingan yang dilakukan tersebut akan membuahkan hasil, " katanya.

Skim insurans bencana diwujudkan berdasarkan satu pelan insurans menghadapi banjir yang diperkenalkan di Parlimen Kemaman sejak 2015, termasuk dalam model Kemaman Siap Siaga dan dikenali sebagai Skim Insurans Kampungku yang membolehkan mangsa banjir menerima pampasan RM1,000 dalam tempoh tiga hingga tujuh hari.

Melalui Model Kemaman Siap Siaga yang diperkenalkan selepas berhadapan banjir buruk pada 2014, penduduk daerah itu hanya membayar sebanyak RM50 dan tambahan RM24 lagi dibayar oleh Pejabat Parlimen Kemaman.

Bagi skim yang dicadangkan NADMA, setiap penerima hanya dikenakan bayaran RM10 manakala kos selebihnya ditanggung oleh kerajaan dengan nilai pampasan berjumlah RM1,000.

-- BERNAMA

 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel