English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Johor
Kerajaan Negeri Melaka

Berita Selatan

January 02, 2018 16:15 PM

Keadaan Banjir Di Mersing Terkawal, Orang Ramai Dinasihatkan Berhati-hati

MERSING, 2 Jan (Bernama) -- Keadaan banjir di daerah ini yang disebabkan hujan lebat dan pertembungan air pasang besar sejak Ahad lepas adalah terkawal buat masa ini, demikian menurut pihak berkuasa tempatan.

Pegawai Daerah Mersing Ashari Kasnan bagaimanapun berkata pihaknya akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa memandangkan keadaan air pasang dijangka berterusan sehingga minggu depan.

"Air laut pasang dijangka setinggi 3.7 hingga 4.0 meter, jadi pertembungan (air pasang dan taburan hujan lebat) menyebabkan paras air di daerah ini naik secara mendadak sehingga menyebabkan banjir," katanya ketika ditemui di satu daripada pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Sekolah Kebangsaan Air Papan, di sini hari ini.

Setakat 12 tengah hari tadi, seramai 343 orang terjejas banjir di daerah ini yang ditempatkan di tujuh PPS.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aur dan SK Pulau Sibu ditutup bermula semalam selama seminggu bagi tujuan pembersihan.

"Selain itu, keadaan lima lagi pulau yang berpenghuni sekitar Mersing masih dalam keadaan terkawal dan kita telahpun menghantar bekalan makanan yang secukupnya sehingga bulan Mac," kata Ashari.

Lima pulau tersebut ialah Pulau Sibu, Pulau Aur, Pulau Tinggi, Pulau Pemanggil dan Pulau Besar.

Mengenai anggaran kerosakan, wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan meninjau kawasan-kawasan yang terlibat banjir di daerah ini petang ini untuk menilai jumlah bantuan bagi membaiki kerosakan fizikal.

Selain itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak keluar memancing memandangkan keadaan air yang deras.

"Buat masa seminggu ini, jangan ke laut atau ke sungai kerana air deras dan boleh mendatangkan bahaya," katanya lagi.

Seorang suri rumah, Nurul Aida Kamarudin berkata paras air yang naik mendadak akibat hujan lebat sejak malam tadi memaksanya dan tujuh lagi anggota keluarga berpindah ke PPS.

"Risaulah jugak dengan keadaan banjir tetapi barang-barang penting dah disimpan di tempat tinggi. Setakat malam tadi, air berada di paras lutut," katanya yang turut berharap bajir segera surut bagi membolehkan pulang ke rumah dalam masa terdekat.

Sementara itu, seorang pekerja swasta Suriyani Kamarudin pada mulanya enggan berpindah.

Bagaimanapun, dia sekeluarga akhirnya akur apabila paras air semakin meningkat sehingga ke paras betis.

Sungguhpun begitu, dia bersyukur kerana bantuan yang diberikan dari segi bantuan makanan dan keperluan-keperluan lain di PPS amat memuaskan.

-- BERNAMA









 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel