English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Selangor
Kerajaan Negeri Sembilan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Perbadanan Putrajaya

Berita Tengah

January 02, 2018 16:01 PM

Pukul Rakan Sekerja, Pembantu Restoran Dipenjara, Didenda

PETALING JAYA, 2 Jan (Bernama) -- Gara-gara memukul belakang kepala rakan sekerjanya minggu lepas, seorang pembantu restoran dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Mohd Azali Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Khaire Redzwan, 28, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan di belakang kepala Mohd Fairuz Mohd Roslan di tepi sebuah kedai makan, di Bandar Sri Damansara dekat sini, pada 3 pagi, 29 Dis tahun lepas.

Mohd Khaire didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintah tertuduh dipenjara bermula dari tarikh tangkap pada 30 Dis lepas dan dia boleh dipenjara dua bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam A. Suresh memohon hukuman denda dengan alasan tertuduh telah insaf serta menanggung ibunya yang uzur, tetapi Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, semasa mangsa sedang berjalan menuju ke tempat kerja, tertuduh secara tiba-tiba memarahi mangsa dan memukul di bahagian belakang kepala sehingga dia terjatuh.

-- BERNAMA

 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel