English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Johor
Kerajaan Negeri Melaka

Berita Selatan

January 02, 2018 15:59 PM

Anak Beranak Didakwa Kes Pecah Amanah RM4.58 Juta


Zamrud Mansor

MELAKA, 2 Jan (Bernama) -- Bekas Setiausaha Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDC) Zamrud Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 42 pertuduhan pecah amanah melibatkan RM4.58 juta antara tahun 2014 dan 2015.

Zamrud, 76, menghadapi lima pertuduhan melakukan pecah amanah ke atas peruntukan MISDC ketika memegang jawatan setiausaha pusat itu dengan memasukkan peruntukan berjumlah RM4.3 juta ke dalam akaun milik syarikat MISDEC Resources Sdn Bhd.

Tertuduh juga menghadapi 37 pertuduhan pecah amanah ke atas peruntukan pusat itu dengan membuat pembayaran RM286,136.68 untuk pelbagai sebab antaranya yuran penubuhan syarikat MISDEC Resources Sdn Bhd, deposit sewa rumah kedai, perlindungan insurans, ubah suai restoran, pembelian perkakasan dapur restoran, pemasangan pendingin hawa dan pendawaian elektrik.

Anak tertuduh Hazizul Zamrud, 44, yang bertugas sebagai Pengarah Unit Pentadbiran MISDC turut mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas 42 pertuduhan bersubahat atas jenayah yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di Pejabat MISDC , Lorong 1, Jalan PBB 6, Taman Perindustrian Batu Berendam di sini antara 19 Mac 2014 hingga 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan sebanyak RM500,000 bagi setiap tertuduh.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan yang rendah atas alasan Zamrud menghidap asma dan sakit jantung, manakala Hazizul menanggung isteri dan dua anak masih kecil, selain mereka sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada SPRM.

Hakim Norma Ismail membenarkan ikat jamin RM250,000 bagi setiap tertuduh serta mereka perlu melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 2 Feb depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel