English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Johor
Kerajaan Negeri Melaka

Berita Selatan

January 02, 2018 13:57 PM

SK Punan Dekat Kluang Ditutup Laluan Ke Sekolah Dilanda Banjir

JOHOR BAHRU, 2 Jan (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan (SK) Punan, Kahang dekat Kluang ditutup dua hari mulai semalam selepas laluan ke sekolah tersebut dilanda banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata penutupan terpaksa dilakukan selepas 11 guru yang tinggal di luar kawasan Kampung Punan tidak dapat memasuki sekolah sejak semalam dan terkandas di laluan ladang kelapa sawit.

"Laluan tersebut tidak boleh dilalui kenderaan dan tindakan diambil dengan semua guru berkenaan mendaftar di sekolah terdekat iaitu SK Kahang, mulai semalam," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ayub berkata berdasarkan maklumat terkini daripada pembantu operasi sekolah itu yang juga penduduk tempatan di Kampung Punan, air sungai didapati sudah melimpah dan naik ke atas jalan raya di kampung tersebut, kira-kira 8.30 pagi tadi.

Beliau berkata kedudukan sekolah tersebut adalah kira-kira 200 meter dari sungai berkenaan.

Ayub berkata dalam masa sama, pemantauan sedang dilakukan terhadap laluan ke SK Ladang Mutiara dan SK Seri Sedohok, juga di Kahang dekat Kluang, yang turut dinaiki air, hari ini.

"Hubungan Jalan Tereh/Selai ke SK Ladang Mutiara terputus mulai 6 pagi tadi menyebabkan tiga guru dan dua anggota kumpulan pelaksana terkandas dan kini melaporkan diri di SK Ladang Tereh. Guru Besar yang berada di sekolah memaklumkan laluan kedua ke sekolah itu melalui Batu 26, Jalan Peta juga dinaiki air," katanya.

Menurut Ayub, SK Ladang Mutiara bagaimanapun masih beroperasi seperti biasa dengan 17 guru berada di sekolah termasuk tujuh daripadanya tinggal di kuarters sekolah.

Berkemungkinan besar, jika jalan masih terputus hubungan di kedua-dua laluan berkenaan, maka, guru yang tidak tinggal di kuarters guru akan menginap sementara di kuarters sedia ada dan rumah pekerja ladang, katanya.

Mengenai SK Seri Sedohok, beliau berkata hubungan tiga jalan ke sekolah berkenaan terputus pada 6 pagi tadi dan menyebabkan lapan guru serta lima anggota kumpulan pelaksana terkandas.

Beliau berkata kesemua mereka kemudian melaporkan diri di SK Kahang dan SK Abdul Rahman Yassin, di Kluang.

"Seramai lima guru berada di sekolah iaitu dua warden, dua guru penolong kanan dan seorang guru akademik biasa. Dua guru penolong kanan dan guru akademik biasa itu bertindak menggunakan motosikal melalui laluan kecil di ladang bagi memastikan sekolah beroperasi seperti biasa," katanya.

-- BERNAMA

 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel