English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Johor
Kerajaan Negeri Melaka

Berita Selatan

January 02, 2018 13:32 PM

Jangan Mudah Percaya Berita Tular Penutupan Sekolah Akibat Banjir

MELAKA, 2 Jan (Bernama) -- Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar tidak mudah percaya berita mengenai penutupan sekolah akibat banjir yang tersebar di media sosial sebaliknya berurusan secara terus dengan pihak pengurusan sekolah bagi mendapatkan kepastian, kata Timbalan Menteri Pendidikan , Datuk P. Kamalanathan.

Beliau berkata selain daripada berhubung dengan pihak pengurusan sekolah, ibu bapa juga boleh membuat rujukan di Pejabat Pendidikan Daerah atau Pejabat Pendidikan Negeri bagi mendapat maklumat yang sahih.

"Saya faham ada masa kita tidak dapat maklumat tepat mengenai penangguhan sekolah, tetapi mengambil maklumat yang ditularkan. Namun kadang-kadang maklumat tersebut adalah tidak tepat," katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan rasmi di bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rumbia, di sini hari ini.

Kamalanathan berkata pihaknya dan Jabatan Pendidikan Negeri seluruh negara telah bersedia untuk menghadapi banjir dan persiapan telah dibuat di semua jabatan walaupun di negeri yang tidak mengalami banjir.

"Masalah banjir bukan perkara baharu dan kita sentiasa bersedia untuk mengambil tindakan. Jikalau ada penangguhan sesi persekolahan ianya akan diumumkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing tertakluk kepada keadaan semasa tempat tersebut," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Kamalanathan berkata SJKT Rumbia yang baharu siap dan mampu menampung sekitar 200 orang murid itu dijangka akan mula beroperasi pada 15 Jan ini.

Katanya sesi persekolahan pada bangunan yang bernilai RM6.3 juta itu terpaksa ditangguhkan kerana terdapat beberapa isu berkenaan bangunan sekolah itu dan ianya dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

"Pihak pembekal diberi masa sebelum atau pada 5 Jan untuk menyelesaikan isu itu dengan mengikut nasihat yang telah diberikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Bomba dan mereka perlu memastikan bahawa segala kelengkapan dapat disediakan dengan secukupnya," katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Sekolah Kebangsaan Rumbia kerana telah memberi SJKT Rumbia menumpang bangunan sekolah itu selama 52 tahun.

--BERNAMA





 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel