English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Johor
Kerajaan Negeri Melaka

Berita Selatan

November 10, 2017 16:50 PM

Tulang Belakang Membengkok, Suri Rumah Rayu Bantuan Bagi Elak Lumpuh

MELAKA, 10 Nov (Bernama) -- Seorang suri rumah berdepan risiko lumpuh sekiranya lewat menjalani pembedahan yang menelan kos kira-kira RM50,000 ekoran masalah tulang belakang membengkok atau 'Scoliosis S' yang dihidapinya sejak berusia tujuh tahun.

Ungku Isma Sabrina Ungku Ismail, 38, berkata dia kini tidak dapat berdiri atau duduk terlalu lama, pernafasan sering terganggu dan kesakitan yang dialaminya kini semakin kerap serta tidak dapat ditanggung.

"Pergerakan saya sangat terbatas sejak dua tahun kebelakangan ini dan ia memberi kesan pada sistem pernafasan. Saya kini terpaksa bergantung pada penggunaan 'nebulizer' untuk bernafas dengan baik kerana tulang belakang yang membengkok telah menghimpit paru-paru saya.

"Kadang-kadang saya berasa seperti nyawa-nyawa ikan, terasa bisa apabila tapak kaki pijak ke lantai dan tulang di bahagian kaki akan membengkak dan lebam sekiranya berdiri atau berjalan terlalu lama," katanya yang ditemani suami Kamarulzamani Mahamod pada sidang akhbar bagi mengumpul dana pembedahannya di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional negeri Melaka (Pembela BN) Amir Hamzah.

Mengulas lanjut, ibu kepada tiga anak itu berkata doktor memaklumkannya bahawa kekerapan rasa kebas di bahagian tengkuk hingga hujung kaki yang dialaminya sejak kebelakangan ini merupakan antara simpton lumpuh yang berkemungkinan dihadapinya.

Ungku Isma Sabrina berkata dia juga terpaksa bergantung pada dos ubat yang tinggi bagi mengurangkan rasa bisa dan ngilu yang ditanggungnya  selain perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Dia yang sebelum ini menjalankan perniagaan menjual bunga berharap dapat menjalani kehidupan berbeza termasuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu kepada anak-anak yang berusia 17, 14 dan lima tahun, sekiranya hasrat menjalani pembedahan itu terlaksana. 

Sementara itu, Kamarulzamani, 39, berkata pendapatan purata RM4,000 sebulan yang diperolehnya sebagai pekerja swasta tidak mencukupi bagi menampung keperluan perubatan isteri serta keperluan anak mereka.

Katanya Ungku Isma Sabrina memerlukan  RM1,300 hingga RM3,000 sebulan bagi membiayai perbelanjaan perubatan selain keperluan kecemasan lain bagi mengurangkan kesakitan yang dialaminya.

"Saya memohon bantuan dan ihsan rakyat di negara ini yang prihatin untuk membantu menyalurkan dana bagi pembedahan isteri saya... ia perlu dilakukan segera bagi mengelak keadaanya menjadi lumpuh," katanya.

Bantuan kewangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Bank: 7605252198 (Ungku Isma Sabrina Ungku Ismail) atau menghubunginya di talian 011-11377600 atau 011-11467668.

Sementara itu, Amir berkata Pembela BN akan membantu Ungku Isma Sabrina  mendapatkan kerusi roda khas yang dianggarkan bernilai RM1,500 dan mesin 'nebulizer' bagi meringankan kesakitan dan beban kewangan yang ditanggung keluarga berkenaan.

"Kita akan membantu menyediakan keperluan Ungku Isma Sabrina dan kita berharap rakyat juga dapat membantu mengikut kemampuan dari segi kewangan agar pembedahan segera dapat dilakukan," katanya.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel