English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Johor
Kerajaan Negeri Melaka

Berita Selatan

November 10, 2017 16:26 PM

Dua Penunggang Motosikal Maut, Seorang Patah Kaki Dilanggar Teksi

JOHOR BAHRU, 10 Nov (Bernama) -- Dua penunggang motosikal maut manakala seorang lagi patah kaki selepas motosikal masing-masing dilanggar sebuah teksi dalam kemalangan di Jalan Pantai menghala ke Pasir Gudang, di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata kejadian berlaku kira-kira 1.45 pagi tadi menyebabkan remaja lelaki berumur 15 tahun yang merupakan pelajar dari Taman Scientex, Pasir Gudang, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di tengkuk manakala lelaki berumur 19 tahun dari Taman Cendana, Pasir Gudang, meninggal dunia ketika dirawat Hospital Sultan Ismail, di sini, akibat cedera di dada.

"Seorang lagi remaja lelaki berusia 17 tahun yang berasal dari Rengit pula patah kaki manakala pemandu teksi berumur 38  tahun yang berasal dari Taman Bayu Puteri 2, di sini, pula hanya cedera di kaki dan dada," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata kejadian dipercayai berlaku apabila teksi Proton Persona dari arah pusat bandar menghala ke Pasir Gudang itu hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar ketiga-tiga motosikal berkenaan.

Beliau berkata siasatan awal mempercayai ketiga-tiga penunggang terbabit berhenti pada bahu jalan berkenaan untuk membaiki motosikal remaja berumur 15 tahun terbabit yang mengalami kerosakan.

Katanya ujian air kencing ke atas pemandu teksi itu mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan dia kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Tempat kejadian adalah jalan lurus dan keadaan lalu lintas semasa kemalangan tidak sibuk. Cuaca semasa kemalangan juga adalah baik dan permukaan jalan juga kering," katanya.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel