English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

November 10, 2017 16:22 PM

Sasar 50,000 Pengguna VSP Sebelum Hujung Tahun

KUALA TERENGGANU, 10 Nov (Bernama) -- Polis Terengganu menyasarkan 50,000 orang awam akan menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Petrol (VSP) di negeri itu menjelang akhir bulan depan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Terengganu ACP Redzuan Abd Hamid berkata sejak diperkenalkan pada Mac lalu, VSP sudah mempunyai 41,020 pengguna berdaftar. 

"Kebanyakan mereka juga sangat aktif menghantar pelbagai maklumat dalam bentuk video, gambar dan teks mengenai kejadian jenayah yang berlaku di sekeliling mereka.

"Secara puratanya, kami menerima 50 maklumat setiap hari daripada pengguna VSP dan ia terus disalurkan kepada jabatan yang berkaitan untuk tindakan susulan," katanya. 

Katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian hari kesedaran jenayah bersama masyarakat Tionghua di Kampung Cina yang disempurnakan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, di sini hari ini.

VSP merupakan kolaborasi dan kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama masyarakat dalam usaha membanteras jenayah dan diperkenalkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa Persidangan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) pada 19 Mei tahun lalu di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

ACP Redzuan berkata seramai 835,000 pengguna telefon pintar di seluruh negara telah pun menyertai VSP untuk memudahkan penyaluran maklumat kepada polis.

"Di Terengganu, kira-kira 80 peratus maklumat yang disalurkan adalah mengenai kawasan yang menjadi tempat penagihan dadah, maklumat berkaitan pelanggaran peraturan trafik dan kegiatan lumba.

"Kami juga ada menerima maklumat mengenai gangguan seksual melalui telefon dan berjaya mengesan pelaku berdasarkan nombor telefon tersebut," katanya. 

Berdasarkan keberkesanan VSP dalam membantu membanteras jenayah, Polis Terengganu akan memperhebatkan aktiviti turun padang dan memperkenalkan aplikasi itu kepada orang ramai.

Sementara itu, mengulas mengenai hari kesedaran jenayah di Kampung Cina itu, Idris berkata kadar jenayah di kawasan tumpuan pelancong itu terkawal susulan kerjasama erat oleh persatuan komuniti setempat.

"Amat jarang sekali kita terima laporan mengenai kejadian kes jenayah yang berat di kawasan ini. Kalau ada berlaku pun hanya kes ragut, itu pun boleh dibilang. 

"Pihak polis sangat berharap agar kerjasama ini berterusan dan penduduk di sini terus memberi maklumat kepada kami agar memudahkan lagi perancangan untuk menjaga keselamatan di perkampungan yang menjadi tumpuan pelancong ini," katanya.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel