English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Perlis
Kerajaan Negeri Kedah
Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Kerajaan Negeri Perak

Berita Utara

November 10, 2017 16:14 PM

Bantuan Terus Mencurah Bagi Meringankan Beban Mangsa Banjir

TASEK GELUGOR, 10 Nov (Bernama) -- Pelbagai pihak terus mencurah bakti dan menghulur bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini dalam usaha meringankan beban yang ditanggung mereka akibat bencana yang dikatakan terburuk di Pulau Pinang itu.

Antaranya ialah badan bukan kerajaan, Team Salute Malaysia yang hari ini tampil memberikan bantuan di beberapa kawasan di Seberang Perai dengan menjalankan kerja-kerja  pascabanjir yang bertemakan 'Salute Malaysia Rescue and Care Pasca Banjir 2.0'.

Presidennya Datuk Rizal Mansor berkata seramai 60 sukarelawan dari seluruh negeri turun padang untuk membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan kediaman mereka.

Beliau berkata bantuan Salute Malaysia bukan sekadar tenaga kerja, tetapi juga bantuan berbentuk barang-barang keperluan termasuk makanan, minuman dan peralatan pembersihan rumah.

"Dalam rombongan pascabanjir ini kami turut membawa empat pegawai perubatan bagi memberi rawatan perubatan kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Seberang Tok Dol, di sini hari ini.

Menurutnya  kerja-kerja pembersihan kampung telah dimulakan seawal 8 pagi dengan anggota sukarelawan berusaha membantu penduduk mengangkut perabot dan barang-barang yang rosak untuk dibuang.

Selain turut disertai sukarelawan yang mewakili cawangan dan bahagian Pemuda UMNO, misi selama tiga hari itu juga disertai sukarelawan Universiti Sains Malaysia.

Sementara itu, seorang penduduk Zakaria Manap, 66, berkata dia sangat terharu dengan rombongan pascabanjir Team Salute Malaysia tersebut kerana banyak membantu penduduk membersihkan kawasan kampung selepas dilanda banjir.

"Kampung ini mempunyai lebih kurang 80 rumah dan banyak barang-barang rumah yang telah rosak tetapi kami tidak mempunyai tenaga kerja yang cukup untuk angkut barang-barang itu untuk dibuang.

"Bantuan tenaga kerja dan bantuan makanan sangat diperlukan penduduk ketika menghadapi bencana ini," katanya.

Team Salute Malaysia yang ditubuhkan pada 2014 sebelum ini turut terlibat dalam misi membantu mangsa banjir di Kuala Krai, di Kota Bharu, Kelantan dan Misi Pasca Banjir Utara di Perlis dan Kedah serta di Temerloh, Pahang ketika banjir buruk melanda kawasan terbabit.

Turut menghulur bantuan hari ini ialah Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Pulau Pinang bersama-sama PEKA Perak, PEKA Selangor dan beberapa organisasi lain yang bertumpu di sekitar kawasan Lahar Yooi dan Lubuk Meriam, Sungai Dua.

Presiden PEKA Malaysia Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata antara bantuan yang disalur ialah barang-barang makanan, pakaian, lampin pakai buang bayi, tuala, selimut dan kelengkapan mencuci rumah.

Sementara itu, beliau berkata PEKA menggesa kerajaan negeri untuk menghentikan segala aktiviti pembangunan yang tidak terkawal termasuk penggondolan lereng-lereng bukit, pinggiran pantai mahupun sungai yang sudah tentu akan menyebabkan tanah runtuh dan bencana alam yang lain.

"Kami juga bimbang seandainya gelombang kedua hujan lebat dan banjir besar berlaku ia boleh menyebabkan malapetaka yang lebih dahsyat kepada rakyat dan negeri ini, " katanya.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel