English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Selangor
Kerajaan Negeri Sembilan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Perbadanan Putrajaya

Berita Tengah

November 10, 2017 16:03 PM

Jenazah Tunku Deanna Selamat Dimakamkan Di Seri Menanti


KUALA PILAH, 10 Nov (Bernama) -- Jenazah Tunku Datin Deanna Tuanku Munawir,  adinda bongsu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selamat dimakamkan di Makam Diraja Seri Menanti di sini pada 2.18 petang tadi.

Jenazah Almarhum dibawa ke makam diraja itu dari Istana Besar Seri Menanti di sini oleh anggota-anggota Markas 1 Briged Kem Rasah dengan turut diiringi oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan dan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Dr Awaludin Said.

Sebelum itu, kira-kira 500 jemaah menunaikan solat jenazah Almarhum dengan diimamkan Mufti Kerajaan Negeri Datuk Mohd Yusof Ahmad di Masjid Diraja Tuanku Munawir Seri Menanti dan talkin pula dibacakan Imam Eksekutif masjid Abdul Rahman Ibrahim.

Kerabat diraja, orang kenamaan dan rakyat jelata mula membanjiri perkarangan istana untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum seawal 12.30 tengah hari tadi.

Antara kerabat yang hadir ialah Tunku Ampuan Najihah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Tengku Syarif Bendahara Perlis Datuk Seri Diraja Syed Badarudin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Undang Luak Johol Datuk Muhamed Abdullah danNaib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali serta barisan exco kerajaan negeri juga antara yang memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum.

Tunku Deanna, 62, mangkat pada  4.24 petang semalam di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur akibat diabetes.

Almarhum meninggalkan suami Tengku Datuk Amran Tengku  Mohd Yusof dan tiga puteri berusia di antara 34 tahun hingga 41 tahun.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel