English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Selangor
Kerajaan Negeri Sembilan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Perbadanan Putrajaya

Berita Tengah

November 10, 2017 15:15 PM

Tolak Usul: Kerajaan Selangor Disifatkan 'Penghapus' Etnik Bugis

SHAH ALAM, 10 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor disifatkan sebagai 'penghapus' etnik Bugis oleh Persatuan Anak-anak Bugis, apabila usul untuk membahaskan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa menghina golongan Bugis, ditolak Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Hannah Yeoh Tseow Suan pada Selasa.

Wakil Persatuan Anak-anak Melayu Bugis Malaysia, Raja Kamaruddin Raja Ab Wahid berkata pihaknya terkejut dengan tindakan Yeoh itu dan mengibaratkannya sebagai 'menderhaka' kepada titah penzahiran kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini berhubung kenyataan bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata Yeoh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya sepatutnya sedar bahawa kedudukannya dalam DUN adalah atas perkenan Sultan Sharafuddin seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

"Menolak usul untuk membahaskan kenyataan tersebut dilihat sebagai pengkhianatan kepada Sultan Selangor. Malah sekiranya usul itu dibenar dibahas di dalam DUN, kami pasti ramai ADUN akan bersetuju supaya Dr Mahathir dikenakan tindakan sewajarnya oleh kerajaan Selangor.

"Sebab itulah Yeoh menolak usul berkenaan kerana bimbang ADUN PAS pastinya menjunjung titah penzahiran kemurkaan tersebut," katanya kepada pemberita dalam demonstratsi aman yang disertai kira-kira 10 wakil persatuan itu, di hadapan pintu masuk DUN Selangor, di sini hari ini.

Semalam, ADUN Barisan Nasional (BN) Selangor menyerahkan memorandum kepada Sultan Sharafuddin bagi membantah tindakan DUN Selangor menolak usul membahaskan kenyataan Dr Mahathir yang didakwa menghina etnik Bugis.

Usul berkenaan dikemukakan ADUN Kuang, Datuk Abdul Shukor Idrus sebagai usul tergempar pada persidangan DUN kali ini namun ditolak Yeoh atas alasan, isu berkenaan tidak perlu disegerakan.

Dr Mahathir ketika berucap pada perhimpunan anjuran parti pembangkang di Petaling Jaya, 14 Okt lepas, cuba mengaitkan keturunan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai mungkin berasal daripada lanun Bugis.

Ekoran kenyataan itu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa murka dan amat kecewa dengan kata-kata itu yang dilihat sebagai cuba menghasut rakyat Malaysia untuk membenci, menghina dan memandang serong  terhadap etnik Bugis yang merupakan susur galur Kesultanan Selangor.

-- BERNAMA

 

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel