English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Perlis
Kerajaan Negeri Kedah
Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Kerajaan Negeri Perak

Berita Utara

November 10, 2017 11:34 AM

Lebih 200 Peserta Cilik Sertai Ironkids Kejohanan Ironman

Oleh IMA AIMI NADIA IBRAHIM

LANGKAWI, 10 Nov (Bernama) -- Ironkids, acara larian yang menarik lebih 200 orang peserta semuda usia empat tahun diadakan di sini hari ini sebagai pembuka tirai kepada acara Ironman Malaysia dan Ironman Langkawi 70.3.

Diadakan di Pantai Chenang, peserta acara ini yang turut melibatkan beberapa orang anak kepada atlet-atlet Ironman, dibahagikan kepada tiga kategori umur iaitu 4-8 tahun yang perlu berlari sejauh 500 meter, 9-13 tahun (1km) dan 14-17 tahun (1.5km).

Kesemua peserta berjaya menamatkan jarak larian dalam tempoh kurang daripada 45 minit dan diberikan pingat serta sijil penyertaan yang disampaikan oleh penyandang Juara Ironman Langkawi, Fredrik Croneborg untuk kategori Lelaki Profesional dan Diana Riesler, Wanita Profesional.

Mohd Afiq Azfar Jamani, 36, yang pertama kali menyertai Ironman berkata dua anak perempuannya yang berumur 7 dan 8 tahun turut menyertai Ironkids bagi memberi sokongan kepadanya untuk kejohanan esok.

"Ini merupakan satu cara mereka memberi sokongan kepada saya dan Ironkids ini bagus kerana ia dapat memberi pendedahan awal kepada anak-anak tentang sukan triathlon ini," katanya.

 Sementara itu, Hafiz Razali, 31, dari Seri Kembangan, Selangor berkata beliau datang untuk acara Ironman kerana memberi sokongan kepada anaknya Sofea, 7, yang meminati sukan larian.

"Dia minat berlari dan ini merupakan cara terbaik untuk memberi pendedahan kepadanya kerana saya lihat dia memang berpontensi dalam sukan larian," katanya.

Esok, kira-kira 2,000 atlet dari lebih 60 negara akan berentap dalam perlumbaan Ironman Malaysia dan Ironman 70.3 Langkawi 2017 yang membabitkan tiga disiplin perlumbaan iaitu berenang, berbasikal dan berlari.

Kejohanan yang menawarkan hadiah wang keseluruhan berjumlah AS$25,000 (kira-kira RM105,420) ini akan menyaksikan peserta bertanding melalui tiga disiplin iaitu berenang sejauh 3.8km, berbasikal 180km dan berlari sejauh 42.2km untuk Ironman Malaysia. 

Ironman 70.3 Langkawi pula akan melibatkan disiplin renang sejauh 1.6km, berbasikal 90km dan berlari sejauh 21.1km. 

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel