English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

November 09, 2017 23:14 PM

Terengganu Sasar 6.5 Juta Pelancong Menjelang 2025

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu menyasarkan 6.5 juta pelancong domestik dan luar negara mengunjungi negeri itu dan sekali gus meningkatkan perbelanjaan pelancong sebanyak RM6 bilion menjelang 2025.

Menteri Besarnya Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata ia memerlukan peningkatan kedatangan pelancong sebanyak 60 peratus berbanding empat juta pelancong pada 2015 bagi mencapai sasaran itu.

Beliau yang berhasrat menjadikan sektor pelancongan sebagai aktiviti utama Terengganu berkata sasaran itu juga akan menawarkan lebih 7,000 peluang pekerjaan kepada rakyat menjelang 2025.

"Berdasarkan kajian lepas, pelancongan telah membawa kepada kesan pengganda  sebanyak tiga kali ganda kepada perkembangan ekonomi dan 2.5 kali ganda kepada peluang pekerjaan.

"Bagi merealisasikan hasrat itu, kita memerlukan kepakaran Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) untuk mereka bentuk pelan induk dan merangka strategi-strategi baharu bagi mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada pelancaran penyediaan Pelan Induk Pelancongan Negeri Terengganu 2018-2025 yang turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Associates Sdn Bhd Datuk Seri Idris Jala.

"Saya yakin pengalaman dan kredibiliti yang Pemandu miliki melalui konsep Hasil Besar dan Pantas yang diperkenalkan, pelan induk ini mampu menterjemahkan agenda pelancongan negeri," katanya.

Ahmad Razif berkata sebahagian daripada usaha itu adalah melalui adaptasi 'pelancongan pintar ' dengan menggunakan teknologi digital dan 'Internet of Things' bagi menambah baik pemasaran dan penjualan, penyampaian perkhidmatan dan pengalaman pengunjung.

Katanya, kaedah penyediaan pelan induk itu turut mengambil kira pandangan dan input daripada   peserta industri pelancongan, suara komuniti, pihak swasta dan badan bukan kerajaan.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu meneroka sektor-sektor yang mempunyai 'kelebihan saing' bagi menjana pendapatan kepada negeri dan tidak hanya bergantung kepada industri minyak dan gas yang menyumbang lebih 85 peratus pendapatan negeri  memandangkan berlakunya kejatuhan harga minyak.

Melalui inisiatif itu, Terengganu akan memperkasakan sektor pelancongannya dalam penghasilan produk-produk warisan, menaik taraf pusat-pusat peranginan di kawasan pulau serta meningkatkan pembangunan  taman-taman negeri.

-- BERNAMA

  SBTS KHY MK

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel