English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

November 09, 2017 21:43 PM

Punca Kematian Doktor HSNZ Masih Dalam Siasatan

MARANG, 9 Nov (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu tidak menolak kemungkinan menu nasi ayam yang dimakan arwah Dr Mohd Muaz Mohd Sabri menjadi punca keracunan makanan yang menyebabkan kematiannya pada akhir bulan lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohammad Omar berkata bagaimanapun pihaknya masih menunggu hasil laporan rasmi dari makmal Jabatan Kimia mengenai punca sebenar kematian doktor perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) itu.

"Apa yang tersebar di kalangan netizen, spekulasi  kononnya makanan yang dibeli dari pasar malam itu tercemar....kami tidak boleh kata ya dan kami pun tidak boleh kata tidak kerana tiada bukti kukuh mengenainya.

"HSNZ telah melakukan siasatan dalaman berhubung kematian arwah dan setakat ini kami menolak kemungkinan adanya unsur khianat atau bunuh diri akibat tertekan dengan bebanan kerja. Yang pasti ia adalah kematian 'natural' dan kita perlu laporan rasmi itu untuk mengetahui punca sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian sambutan Hari AIDS Sedunia peringkat negeri yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Roslee Daud di sini hari ini. 

Pada 1 Nov lalu, media melaporkan doktor yang berusia 29 tahun itu ditemui mati di bilik sewanya di Kampung Nyiur Sepohon, Kuala Terengganu.

Mayatnya ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil selepas pintu bilik rumah itu berjaya dibuka oleh anak pemilik kediaman berkenaan, Hakim Mat Lazim kira-kira pukul 10.40 malam 31 Okt lepas.

Doktor tersebut dipercayai mengalami keracunan makanan selepas menikmati nasi ayam yang dibeli di pasar malam Kuala Ibai bersama tunangnya.

Dr Mohammad berkata tunang arwah bagaimanapun dimasukkan ke wad HSNZ pada pagi 26 Okt setelah mengalami simptom yang agak teruk kerana muntah-muntah yang disyaki akibat keracunan makanan.

"Tunangnya itu pulih selepas menerima rawatan dua hari di HSNZ namun gagal menghubungi arwah sepanjang tempoh itu sehinggalah mayatnya ditemui dipercayai beberapa hari selepas kematiannya," katanya. 

Mengulas lanjut, Dr Mohammad berkata pihaknya ada melakukan pemantauan di pasar malam terbabit namun gagal mengesan peniaga nasi ayam itu.

"Jika kita tahu, kita akan lakukan siasatan lanjut termasuk rantaian pembekal kerana kebanyakan kes keracunan makanan adalah disebabkan ayam yang tercemar.

"Namun, kesan keracunan makanan adalah tidak sama bagi setiap individu kerana ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk ketahanan tubuh badan individu dan jumlah makanan yang diambil," katanya.

Kebiasaannya, hasil laporan rasmi Jabatan Kimia dapat diketahui selepas dua minggu hingga sebulan selepas pengambilan spesimen untuk mengetahui punca kematian seseorang.

-- BERNAMA 

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel