English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

November 09, 2017 18:57 PM

Rakyat Kelantan Dinasihat Agar Tidak Percaya Berita Tidak Sahih

KOTA BHARU, 9 Nov (Bernama) -- Maklumat yang menular kononnya Kelantan akan dilanda banjir besar adalah berita tidak sahih, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Fauzi Che Mat.

Katanya memang diakui sekarang ialah musim tengkujuh dan hujan tetapi setakat ini tiada tanda suatu keadaan luar biasa akan berlaku.

"Kita cuma jangkakan ada air pasang besar sahaja dan harapnya tidak disertai dengan hujan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk Kelantan agar tidak mudah percaya dengan maklumat yang disebar tanpa pengesahan daripada agensi bertanggungjawab berhubung banjir di negeri itu.

Mohd Faudzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri mengulas mengenai penularan maklumat di media sosial berkaitan Kelantan akan dilanda banjir besar berikutan penurunan suhu ketika ini sebagaimana yang berlaku pada 2014.

Mohd Faudzi berkata laporan  sebegitu yang ditularkan menerusi media sosial boleh mencetuskan panik dan kebimbangan di kalangan masyarakat sedangkan agensi yang bertanggungjawab tidak menjangkakan situasi sedemikian di jajahan tersebut. 

"Siasatan yang kita jalankan mendapati kejadian tersebut tidak berlaku dan penurunan suhu disebabkan oleh musim tengkujuh yang berlangsung ketika ini," katanya.

Beliau seterusnya turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memantau penularan berita sedemikian.

Mengulas mengenai persiapan banjir pula, Mohd Faudzi berkata kesemua pihak yang berkenaan termasuk sukarelawan kini dalam keadaan siap siaga dengan semua bekalan makanan telah dihantar ke semua pangkalan hadapan di negeri itu.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir untuk membuat persiapan awal termasuk menyimpan dokumen penting di tempat selamat selain memastikan simpanan bekalan air bersih dan makanan mencukupi.

-- BERNAMA

 

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel