English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

November 09, 2017 18:44 PM

Maidam Sasar Kutip Zakat RM140 Juta Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 8 Okt (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyasarkan perolehan kutipan zakat tahun ini sehingga RM140 juta berbanding RM133 juta yang diperoleh tahun lalu.

Yang Dipertua Maidam Datuk Sheikh Harun Sheikh Ismail berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, Maidam berjaya memungut kutipan zakat sebanyak RM93.913 juta.

"Kita yakin jumlah sasaran itu akan dapat dicapai kerana pembayar zakat biasanya akan mengeluarkan zakat pada akhir tahun," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan zakat perniagan daripada Rakyat Holding Sdn Bhd di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rakyat Holding Abd Samad Khalid menyerahkan zakat berjumlah RM100,000 kepada Sheikh Harun bagi zakat perniagaan syarikat Rakyat Holding bagi tahun 2016.

Sheikh Harun berkata antara jumlah besar zakat yang diterima adalah daripada zakat galian melibatkan RM42,904,191, zakat wang simpanan (RM19,627,902) dan zakat perniagaan (RM19,406,027).

Zakat lain yang diterima ialah zakat fitrah, zakat harta, zakat tanaman, zakat ternakan dan zakat emas dan perak.

Bagaimanapun, katanya, jumlah perbelanjaan pula melibatkan RM146,822,203,  antara jumlah besar iaitu perbelanjaan kepada orang miskin sebanyak RM59,459,832, perbelanjaan untuk fisabilillah (RM55,565,355) dan perbelanjaan kepada fakir (RM15,167,811). 

Selebihnya adalah perbelanjaan kepada amil, muaalaf, Al-Riqab, Al-Gharimin dan Ibnusabil.

Sementara itu, Abd Samad berkata, Rakyat Holding Sdn Bhd merupakan anak syarikat Bank Rakyat yang menjalankan operasi perniagaan dalam bidang hartanah, pelancongan dan sebagainya.

Katanya Rakyat Holding mengeluarkan zakat perniagaan keseluruhan bagi 2016 sebanyak RM1.3 juta meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Melaka dan Wilayah Persekutuan.

"Pengeluaran zakat kepada Maidam (Terengganu) adalah merupakan pertama kali dibuat walaupun negeri ini tidak mempunyai cawangan Rakyat Holding di sini," katanya.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel