English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Sabah
Ketua Menteri Sabah

Berita Sabah

October 05, 2017 17:55 PM

LIGS Nafi Ses Ke Atas Getah Tidak Diproses Punca Harga Getah Rendah Di Sabah

KOTA KINABALU, 5 Okt (Bernama) -- Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menyangkal dakwaan Parti Warisan Sabah (Warisan) di media sosial yang ses dikenakan ke atas getah mentah yang tidak diproses yang dibawa keluar dari negeri ini adalah punca harga getah rendah di Sabah.

Dalam satu kenyataan hari ini, LIGS berkata, tidak ada duti eksport dikenakan ke atas getah diproses yang dieksport dari Sabah dan pekebun kecil tidak perlu membayar ses tersebut.

Katanya, penghapusan cukai itu akan hanya memberi manfaat kepada kilang di luar negeri ini.

"Harga getah ladang yang lebih rendah di Sabah berbanding di Semenanjung Malaysia adalah disebabkan masalah logistik dan tidak ada kena mengena dengan ses getah mentah," kata LIGS.

LIGS menjawab cabaran Naib Presiden Warisan, Junz Wong untuk menghapuskan cukai eksport 10 peratus bagi membolehkan pekebun kecil mengeksport produk mereka secara terus ke Sarawak atau tempat lain.

Wong berkata, cukai eksport serta syarat yang dikenakan ke atas pekebun kecil untuk menjual secara terus kepada LIGS dan tidak mengeksport getah secara terus, sebagai antara sebab kenapa harga getah di Sabah adalah lebih rendah.

LIGS berkata, ses getah mentah adalah untuk melindungi industri tempatan dengan memastikan getah mentah diproses di negeri ini dan tidak dihantar ke Semenanjung Malaysia atau Sarawak untuk diproses.

Ia adalah dasar kerajaan negeri yang getah mentah perlu diproses dalam negeri bagi menghasilkan nilai tambah Getah Standard Malaysia yang boleh dieksport bagi memperoleh pertukaran asing untuk negeri, di samping memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, tambahnya.

LIGS berkata, kandungan getah kering (DRC) getah itu ditentukan oleh proses ujian makmal standard antarabangsa serta output sebenar yang diperoleh selepas pemprosesan getah mentah dari kilang.

Menurutnya, lembaga itu membuat pembelian secara mingguan, yang bermakna pekebun kecil akan menjual getah mentah yang dihasilkan mereka dalam satu hingga enam hari.

"Purata sebenar DRC kepingan getah tidak disalai di Sabah hanya 55 hingga 65 peratus dan tidak 70 hingga 80 peratus seperti didakwa Warisan, manakala DRC sebenar untuk getah mangkuk beku hanya 48 hingga 60 peratus," kata LIGS.

Dengan pengurusan yang cekap dan langkah pengurangan kos, LIGS berupaya mewujudkan dana pusingan bagi membantu pekebun kecil getah di negeri ini, tambahnya.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel