English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Sabah
Ketua Menteri Sabah

Berita Sabah

October 05, 2017 18:02 PM

Kurup Minta Ketua Agama Tekankan Keharmonian Beragama Kepada Penganut

KOTA KINABALU, 5 Okt (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup hari ini meminta ketua agama memberikan kefahaman kepada penganut agama masing-masing tentang ajaran asas dalam hubungan dengan kelompok berlainan agama demi memastikan Malaysia kekal aman dan harmoni.

Beliau berkata kajian oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia dengan  kerjasama  Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Universiti Putra Malaysia menunjukkan hubungan antara agama di Malaysia secara relatifnya baik. 

"Namun, suhu hubungan antara agama di Malaysia boleh menjadi 'panas' disebabkan isu tertentu melalui manipulasi dan provokasi pihak tertentu yang berkepentingan.

"Oleh itu peranan ketua-ketua agama menjadi amat penting kerana kewibawaan dan autoriti untuk memberi pendangan berasaskan ajaran agama masing-masing dalam suatu isu adalah amat diperlukan," katanya berucap merasmikan Dialog Antara Agama di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS), dekat sini hari ini.

Kurup berkata kewibawaan ketua agama juga diperlukan untuk menjernihkan kekusutan dalam hubungan antara kelompok berlainan agama di negara ini.

Mengenai majlis itu, beliau berkata dialog agama anjuran JPNIN dan UMS tersebut bertujuan mengajak masyarakat pelbagai agama agar dapat menyampaikan mesej toleransi, perpaduan dan kerjasama antara satu sama lain tanpa membezakan fahaman dan kepercayaan agama masing-masing.

"Program ini dapat menggalakkan perkongsian pengalaman dan percambahan idea dalam mempromosikan persefahaman dan keharmonian antara agama di seluruh Malaysia.

"Oleh itu saya berharap pemimpin agama dari Semenanjung dan Sabah yang hadir pada program ini dapat menimba ilmu, berkongsi idea dan pengalaman  serta seterusnya dapat memainkan peranan masing-masing dalam menyebarluaskan mesej toleransi dan kesederhanaan bagi mempromosikan perpaduan dan keharmonian antara masyarakat," katanya.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel