English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Sarawak
Ketua Menteri Sarawak

Berita Sarawak

October 05, 2017 14:32 PM

PRS Kekal Bersatu - Joseph Salang

PAKAN, 5  Okt (Bernama) -- Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS)  Datuk Joseph Salang Gandum hari ini menegaskan parti itu kekal bersatu dan sebarang usaha mewujudkan puak-puak dalam parti akan ditangani dari awal.

Katanya kewujudan puak baik di peringkat akar umbi mahupun pucuk pimpinan hanya akan melemahkan parti.

"Kita mesti belajar daripada kejayaan parti politik seperti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang sentiasa bebas krisis. Anggotanya berdisiplin dan akan mematuhi sebarang keputusan yang dibuat oleh presiden," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan PRS Bahagian Pakan, di sini semalam.

Beliau berkata ini kerana anggota PBB tahu setiap keputusan yang dibuat oleh presiden mereka adalah untuk kepentingan seluruh parti, bukan untuk kepentingan diri.

Salang berkata anggota PBB juga tahu presiden meminta pandangan pemimpin lain dan mereka yang berkenaan sebelum membuat satu-satu keputusan.

Menurutnya perkara sama turut diamalkan Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing yang mendapatkan nasihat dan maklum balas daripada pemimpin lain serta anggota dan masyarakat di akar umbi.

Seiring itu juga, Anggota Parlimen Julau tersebut berkata PRS akan memberi kebebasan kepada Masing untuk menentukan calon-calon parti pada pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini tersebar cakap-cakap mengatakan Masing akan menggugurkan dua penyandang kerusi parlimen sedia ada.

Parti komponen Barisan Nasional Sarawak itu mempunyai enam kerusi parlimen iaitu Sri Aman (disandang oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat); Lubok Antu (Datuk William Nyalau Badak); Julau (Salang), Kanowit (Datuk Aaron Ago Dagang);   Selangau  (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun); dan Hulu Rajang (Datuk Wilson Ugak Kumbong). 

Mengulas lanjut, Salang mengingatkan anggota PRS walaupun sebahagian nama termasuk dirinya sudah diumum akan dicalonkan semula, perkara tersebut tidak muktamad. 

"Ini semua tidak muktamad sehinggalah hari penamaan calon.

"Saya tidak ada masalah dengan mereka yang mendakwa akan menggantikan saya," katanya yang turut mengingatkan pihak berkenaan agar tidak membuat keputusan secara terburu-buru.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel