English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Sabah
Ketua Menteri Sabah

Berita Sabah

October 05, 2017 14:03 PM

Mara Keningau Peruntuk Lebih RM16 Juta Pembiayaan Tiga Skim Sejak 2014

Oleh Mohamad Khairy Abdullah

KENINGAU, 5 Okt (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (Mara) Keningau memperuntukkan lebih RM16 juta bagi membiayai tiga skim pembiayaan sejak 2014 sehingga bulan lepas, kata Pegawai Mara Daerah Mohd Zairulfiza Mohd Zin, hari ini.

Beliau memberitahu Bernama di sini peruntukan itu melibatkan Pembiayaan Kontrak Ekspress (SPiKE) berjumlah RM14,787,900, Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) (RM262,000) dan Pembiayaan Golongan Belia (PUTRA) (RM1,148,000).

Menurutnya analisis statistik menunjukkan SPiKE mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dalam kalangan usahawan Bumiputera, dengan menyaksikan 151 permohonan diluluskan, diikuti PUTRA dengan 110 permohonan dan SPiM sebanyak sembilan permohonan.

"Peruntukan untuk ketiga-tiga skim ini tidak terhad dan bertambah setiap tahun berdasarkan permintaan.

"Matlamat kita (Mara) adalah untuk membantu membangunkan masyarakat Bumiputera selaras dengan objektif agensi ini untuk memperkasakan usahawan berjaya dan inovatif," katanya sambil menambah sasaran agensi itu ialah melahirkan modal insan berfikiran global serta berintegriti.

Dalam usaha mempromosi perkhidmatan agensi itu ke arah memperkasa penguasaan ilmu dalam kalangan usahawan Bumiputera di Keningau, Mohd Zairulfiza berkata sebanyak 38 aktiviti berjaya dilaksanakan sejak 2014 sehingga bulan lepas.

Beliau berkata Mara turut menawarkan pembiayaan kemudahan pinjaman sehingga 40 peratus bagi pembelian mesin atau peralatan kepada usahawan yang menceburi bidang perniagaan berbentuk kemahiran teknikal.

"Kita juga menyediakan 21 lot di Bazar Keningau dan Kedai Keningau 2 dengan kadar sewa berpatutan kepada usahawan di sini," katanya.

Agensi kerajaan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu mula beroperasi di Keningau sejak 1975 dan  turut menyelia operasi GiatMara di Keningau, Pensiangan dan Tenom selain dua pejabatnya di Pusat Transformasi Luar Bandar RTC di Bayangan di sini dan Babagon Baru, Tambunan.

"Mara Keningau juga menyediakan seminar untuk membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), selain program ekspo jualan sebagai wadah untuk membantu usahawan Bumiputera mempromosi perniagaan mereka," katanya.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel