English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Sabah
Ketua Menteri Sabah

Berita Sabah

October 05, 2017 12:46 PM

Imigresen Sabah Patahkan Sindiket Pemalsuan Dokumen, Tahan Lima Individu

KOTA KINABALU, 5 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen Sabah berjaya mematahkan satu sindiket pemalsuan dokumen selepas menahan lima warga Filipina  termasuk seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah setinggan di Batu 7, Jalan Labuk, Sandakan awal pagi semalam.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, jabatan itu berkata suspek yang berusia 14 hingga 52 tahun terbabit diberkas oleh Imigresen Sandakan dan Lahad Datu pada 4 pagi susulan  maklumat daripada Ops Serkap di Kampung Bangkarat, Tungku, Lahad Datu sebelum ini.

Dua daripada suspek memegang kad pengenalan penduduk tetap, seorang memiliki sijil lahir dan dua lagi tidak memiliki sebarang dokumen, kata jabatan itu.

Siasatan awal  menunjukkan sindiket mengenakan bayaran sehingga RM1,500 bagi setiap set dokumen permohonan.

Dalam serbuan itu, pihak imigresen turut merampas dokumen yang disyaki palsu iaitu 15 salinan dokumen IMM13 yang telah disahkan berserta resit bayaran, 14 keping surat permohonan permit masuk, 14 keping permit masuk (disyaki palsu), tujuh keping resit bayaran permit masuk dan dua keping salinan surat pengesahan status pelarian daripada Pasukan Petugas Khas Persekutuan Wilayah Sandakan.

Turut dirampas ialah empat keping surat kelulusan permohonan permit masuk, enam keping borang akuan, lapan keping dokumen IMM13 berwarna oren yang telah tamat tempoh dan 12 keping surat kelulusan kad pengenalan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Sabah, 24 keping resit bayaran permit masuk JPN, tiga keping MyKad (disyaki palsu) dan 70 keping gambar berukuran pasport.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel