English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Perlis
Kerajaan Negeri Kedah
Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Kerajaan Negeri Perak

Berita Utara

June 19, 2017 21:39 PM

Pantai Kucing Di Teluk Bahang


Nelayan, Nana Wan Chik, 57, memberi makanan kepada kucing-kucing peliharannya di tepi pantai Teluk Bahang

GEORGE TOWN, 20 Jun (Bernama) -- Bermula dengan hanya 10 ekor kucing pada 2005, siapa sangka rumah kampung di tepi laut Teluk Bahang kini menjadi habitat bagi ratusan ekor kucing.

Kawasan itu yang dinamakan Pantai Kuching atau 'Cat Beach' kini dihuni hampir 200 ekor kucing yang dijaga nelayan, Nana Wan Chik, 57, bersama-sama seorang warga emas yang berasal dari New York, Teviot Fairservis, 62.

Nana atau lebih dikenali sebagai Papa Kucing berkata pada mulanya, beliau membela 10 ekor kucing yang diambilnya dari tepi-tepi jalan namun, jumlah itu bertambah setiap tahun.

"Sebagai nelayan saya senang dapat ikan. Bila saya balik dari menangkap ikan, mesti ada enam, tujuh ekor kucing yang tunggu saya di tepi laut...saya pun mula bagi kucing-kucing ini makan ikan yang saya tangkap.

"Sejak itu, saya jadikan tempat ini Pantai Kuching. Pada mulanya, saya hanya ambil kucing-kucing di tepi jalan. Kemudian lepas orang dah tahu tentang tempat ini, ada yang hantar kucing ke sini. Saya terima dan sehingga 2017, sudah hampir 200 ekor kucing yang saya jaga bersama-sama Teviot," katanya kepada Bernama.

Bapa empat anak itu berkata bagaimanapun, kekangan kewangan dan faktor kesihatan memaksa beliau menolak daripada menerima kucing orang awam buat masa ini.

Nana berkata tidak mudah menjaga ratusan kucing kerana haiwan berkenaan memerlukan makanan yang mencukupi selain perubatan.

"Baru-baru ini, seorang wanita dari Kulim, Kedah nak serahkan 100 ekor kucing pada saya. Saya tak boleh terima, tak mampu rasanya. Nak jaga kesemua kucing ini bukanlah kerja mudah. Saya bernasib baik sebab kakak saya bantu bagi nasi berlebihan dari kantin sekolah. Inilah yang dapat membantu kucing-kucing saya makan selain sumbangan daripada orang perseorangan," katanya.

Sementara itu, Fairservis berkata pihaknya memerlukan dana untuk menampung keperluan kucing-kucing berkenaan kerana ketika ini mereka hanya bergantung kepada kutipan dana dan derma daripada orang perseorangan dan pertubuhan bukan kerajaan.

"Saya amat berpengalaman dalam mendapatkan dana selain menjadi perunding pengurusan yang bukan meraih keuntungan. Apa pun sebabnya saya ke sini, saya pilih untuk kekal berada di sini.

Beliau berkata pihaknya mahu menjadikan tempat itu bukan hanya sebagai penempatan untuk kucing-kucing berkenaan malah menjadi tempat yang boleh mendidik orang ramai mencintai haiwan.

Fairservis berkata selain bermain dengan kucing, orang ramai berpeluang untuk merapi kucing di spa kucing dan melihat bagaimana kucing-kucing ini dirawat oleh sukarelawan veterinar selain boleh mengambil kucing itu untuk dibela di rumah dengan syarat memberi penjagaan yang baik.

Katanya buat masa ini beliau dibantu oleh dua orang sukarelawan yang menetap di situ selain warga asing yang datang bercuti ke Pulau Pinang turut membantu menjaga tempat berkenaan.

"Kami bercadang mengenakan bayaran masuk RM10. Kami teruskan mengharapkan sumbangan anda," katanya.

Beliau berkata orang ramai yang berminat menyumbang, boleh melayari laman web www.paypal.me/TeviotCatBeachPenang atau www.gofundme.com/catloversintl.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel