English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Senarai Berita
Arkib Berita
Pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Perlis
Kerajaan Negeri Kedah
Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Kerajaan Negeri Perak

Berita Utara

June 16, 2013 14:13 PM

Operasi Mencari Di Kawasan Runtuhan Penebat Kilat Diteruskan

GEORGE TOWN, 16 Jun (Bernama) -- Pasukan mencari dan menyelamat meneruskan kerja mengorek di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini Ahad bagi mencari mayat mangsa seorang penjual nasi yang dikenali sebagai Lim Chin Aik.

Kerja-kerja menggali yang dijalankan bomba, pekerja kontraktor dan polis itu bermula pada pukul 8 pagi dan ia akan diteruskan sehingga mayat mangsa dijumpai.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Azmi Tamat berkata pasukan mencari dan menyelamat menjalankan kerja sejak petang Sabtu dan berhenti pada pukul 6 pagi Ahad sebelum disambung semula kemudiannya.

"Kerja-kerja mencari dan menyelamat diteruskan 24 jam dan hanya akan dihentikan selepas jumpa mayat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, 20 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

Azmi berkata setakat ini pasukan mencari dan menyelamat menjumpai beberapa serpihan kereta seperti tayar dan papan pemuka.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan Sabtu bahawa nombor casis kereta yang ditemui di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister itu sepadan dengan kereta milik penjual nasi berkenaan.

Beliau berkata penemuan itu sekali gus merungkai laporan kehilangan seorang lelaki berusia 44 tahun sejak hari kejadian Khamis lepas.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati pasukan mencari dan menyelamat telah mengorek lubang sedalam tujuh meter di kawasan dipercayai mangsa tertimbus.

Bagaimanapun, kerja-kerja mencari mangsa menjadi sukar berikutan struktur tanah mendap selain kawasan dilimpahi air kerana paip bawah tanah pecah akibat runtuhan berkenaan.

Turut sama berada di tempat kejadian ialah anggota keluarga Lim bagi mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai tertimbus di kawasan runtuhan itu.

Isteri mangsa Lee Chai Song, 48, dan tiga anak mereka iaitu dua lelaki, Lim Chia Yiang, 20, Lim Chia Oon, 18, serta anak perempuan mereka Lim Hui Jiun, 13, berada di situ sejak pukul 7 pagi.

Selain mereka, kedua-dua ibu bapa mangsa, Lim Tian Chor, 73, dan Ang Kim Looi,70, dan adik perempuan, Lim Lye Suan, 40, juga berada di tempat kejadian.

Keluarga mangsa menjalankan upacara sembahyang di tempat kejadian supaya usaha mencari dan menyelamat berjalan lancar.

Ibu Lim, Ang berkata beliau dan keluarga mangsa tinggal bersama di Weld Quay, dan anaknya itu adalah seorang yang baik.

"Dia merupakan seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab dan sentiasa mengambil berat tentang saya dan suami. Kami sekeluarga berharap dia dapat ditemui," katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu adik perempuan mangsa, Lye Suan berkata mereka sekeluarga sudah berusaha mencari abangnya itu di semua lokasi yang beliau selalu pergi termasuk menerusi laman sosial facebook selepas menyedari kehilangan Lim.

"Saya menyedari abang hilang selepas anak perempuannya (Hui Jiun) balik dari sekolah dengan gurunya dan kami terus mencari abang dengan pelbagai cara termasuk menerusi facebook sebelum membuat laporan polis," katanya.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan nombor casis kereta yang ditemui di kawasan runtuhan itu sepadan dengan kereta milik penjual nasi berkenaan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau yang melawat tempat kejadian juga meluangkan masa berjumpa anggota keluarga mangsa dan memberi kata-kata semangat kepada mereka.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri akan memulakan siasatan bagi mengetahui punca keruntuhan itu dan memastikan kerja-kerja pembersihan dipercepatkan dan keadaan kembali pulih.

"Siasatan akan dijalankan secepat mungkin, manakala bekalan air, elektrik dan telekomukasi yang terjejas akibat runtuhan akan dipulihkan dalam kadar segera," katanya ketika ditemui pemberita pada satu majlis lain.

--BERNAMA

 

©2014 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel