English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Perlis
Kerajaan Negeri Kedah
Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Kerajaan Negeri Perak

Berita Utara

November 19, 2017 15:09 PM

18 Warga Asing Mangsa Pemerdagangan Manusia Diselamatkan Di Sungai Petani

SUNGAI PETANI, 19 Nov (Bernama) -- Lapan belas warga asing termasuk 17 wanita dan seorang lelaki berperwatakan wanita, yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan dalam serbuan di sebuah premis hiburan di Taman Tuanku Haminah dekat sini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Saifi Abdul Hamid berkata serbuan pada 12.30 tengah malam itu yang dijalankan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda selepas melakukan risikan sejak beberapa minggu lalu.

"Seramai 18 mangsa, berusia lingkungan 20-an hingga 30-an, iaitu 10 warga asing dari Thailand, enam dari Laos, dan dua dari Vietnam, yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi bagi tujuan persundalan, telah diselamatkan.

"Polis turut menahan empat lelaki berumur lingkungan 30-an, disyaki bekerja sebagai penjaga premis hiburan terbabit dan mereka direman selama enam hari bermula semalam (18 Nov) bagi membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas peralatan yang digunakan dalam pusat hiburan terbabit serta beberapa buah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk membawa pekerja asing terbabit ke premis hiburan berkenaan.

"Premis terbabit dipercayai menjadikan warga asing sebagai pelayan pelanggan malah lesen hiburan juga gagal dikemukakan sewaktu serbuan dijalankan," katanya.

Sementara itu, Saifi berkata, perintah perlindungan sementara (IPO) telah dikeluarkan kepada kesemua 18 mangsa dan mereka akan ditempatkan ke pusat perlindungan sementara di Kuala Lumpur dan Melaka, sepanjang tempoh siasatan dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi; Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana warga asing bekerja di negara ini tanpa permit; dan Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel