English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Perlis
Kerajaan Negeri Kedah
Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Kerajaan Negeri Perak

Berita Utara

November 10, 2017 23:58 PM

12 Rumah Rosak Teruk Dilanda Angin Puting Beliung Di Pendang

PENDANG, 10 Nov (Bernama) -- Kira-kira 12 rumah di Kampung Alor Ali dan Kampung Rambai di sini rosak teruk selepas dilanda angin puting beliung petang tadi.

Kejadian kira-kira 6 petang itu menyebabkan kebanyakan bumbung rumah terbabit tercabut dan diterbangkan angin ke kawasan bendang berhampiran akibat pusaran angin yang kuat disusuli hujan lebat selama 10 minit.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)  Kampung Alor Ali Ahmad Sukri Omar berkata kerosakan membabitkan enam rumah di Kampung Alor Ali manakala selebihnya di kampung bersebelahan iaitu Kampung Rambai.

Beliau berkata sebelum menghampiri kampung berkenaan pusaran angin itu menarik air di dalam bendang  ke atas sebelum bergerak membadai perkampungan itu.

"Buat masa ini, saya jadikan rumah saya sebagai penempatan sementara bagi menempatkan kesemua mangsa sebelum tindakan lanjut daripada pihak berwajib,"katanya kepada Bernama malam ini.

Seorang mangsa Che Haminah Awang,  67, yang juga ibu tunggal berkata kejadian itu merupakan kali pertama berlaku sejak dia menetap di kampung itu lebih 50 tahun lepas.

Katanya angin kuat yang datang itu dengan begitu pantas hingga menyebabkan bumbung rumahnya tercabut sebelum diterbangkan ke rumah jiran.

"Angin sangat kuat sehingga saya dan dua orang cucu terpaksa lari menyelamatkan diri keluar dari rumah bagi mengelak dihempap kayu bumbung,"katanya.

Che Haminah berkata berikutan kejadian itu dia mengalami kerugian ribuan ringgit apabila kelengkapan rumah seperti televisyen, almari baju, mesin basuh dan peralatan elektrik rosak.

Seorang lagi mangsa Norlijam Sari Hussin,  40, berkata ketika kejadian, dia bersama beberapa jiran yang datang berkunjung ke rumahnya pada waktu itu terpaksa berlindung di dalam rumah itu dan hanya mampu melaungkan azan dalam keadaan cemas bagi meredakan keadaan itu.

"Kami tidak pernah alami perasaan sebegini sebelum ini di mana angin itu kelihatan 'ganas' sehingga menggegarkan rumah dan mencabut bumbung rumah dengan sekelip mata,"katanya.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang Sarjan Fairol Azhar Mohd Arshad berkata  lapan anggota APM bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat orang awam berhubung kejadian itu pada 6.30 petang.

"Kami membantu mengalihkan perabot dan peralatan rumah penduduk...syukur tiada penduduk yang tercedera dalam kejadian tersebut,"katanya.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel