English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Perlis
Kerajaan Negeri Kedah
Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Kerajaan Negeri Perak

Berita Utara

October 07, 2017 16:40 PM

Sedia Pertimbang Tasik Raban Pengeluar Utama Ikan Darat


LENGGONG, 7 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedia mempertimbangkan cadangan kerajaan negeri untuk menjadikan Tasik Raban di sini sebagai ladang ternakan ikan darat yang utama.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya bersama Jabatan Perikanan akan membincangkan perkara tersebut memandangkan kawasan itu mempunyai pelbagai jenis spesies ikan darat.

"Tasik Raban dan Sungai Perak keseluruhannya adalah antara pengeluar sumber ikan darat yang berharga kerana kedua-dua kawasan itu mempunyai kepelbagaian spesies ikan darat yang berpotensi tinggi.

"Kita akan memikirkan perkara itu kerana ia juga dapat membantu meningkatkan keupayaan nelayan tempatan dalam menjalankan aktiviti perikanan darat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Ikan Sungai Lenggong di Dataran Tasik Raban di sini hari ini.

Beliau berkata sejumlah 103,000 tan metrik atau RM789 juta ikan air tawar dihasilkan di seluruh negara tahun lepas dengan 35 peratus atau 40,000 tan metrik daripadanya adalah dari Perak.  "Perak merupakan penyumbang terbesar pengeluaran ikan air tawar di negara ini dengan ternakan akuakultur menyumbang lebih 40,000 tan metrik setahun.

"Ia disokong oleh aktiviti perikanan darat dengan sebanyak 850 tan metrik ikan sungai bernilai RM12.7 juta tahun lepas berjaya didaratkan dan 2.26 juta benih ikan telah dilepas di perairan sungai dan tasik di seluruh negeri," kata Ahmad Shabery.

Mengenai program hari ini, beliau berkata ia julung kali diadakan dalam usaha kerajaan mempromosi ikan air tawar yang menjadi sumber protein penting dalam hidangan masakan selain ikan laut dan haiwan ternakan.

"Ia juga dapat meningkatkan lagi kesedaran masyarakat untuk menerima ikan air tawar sebagai pilihan utama sumber protein yang masih murah dan boleh dipercayai berbanding sumber protein lain," katanya.

Fiesta yang berlangsung selama tiga hari mulai semalam turut menyediakan pelbagai aktiviti antaranya demonstrasi masakan bersama cef selebriti, pertandingan nyanyian bakat cilik, pertandingan memancing dan sukan air.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel