English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Perlis
Kerajaan Negeri Kedah
Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Kerajaan Negeri Perak

Berita Utara

September 15, 2017 22:31 PM

Program Bermalam Di Muzium Pupuk Semangat Cintakan Negara

TAIPING, 15 Sept (Bernama) -- Jabatan Muzium Negara yakin program bermalam di muzium yang sedang berlangsung seluruh negara akan mendedahkan generasi muda dengan budaya masyarakat majmuk di samping memupuk semangat cintakan negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman) Jabatan Muzium negara Mohd Azmi Mohd Yusof berkata langkah itu dapat menanamkan proses membudayakan generasi berkaitan tamadun yang ada pada rakyat berbilang kaum.

"Pendekatan ini diambil untuk mendedahkan generasi TN50 yang akan menjadi pemimpin negara pada masa depan. Mereka perlu faham dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni, kerana tanpa memahami budaya antara satu sama lain akan menyebabkan tiada kestabilan dalam negara.

"Proses bermalam di muzium ini merupakan antara langkah untuk memelihara tamadun sesuatu bangsa dan jika kita tidak memahami budaya antara masyarakat akan menimbulkan konflik dalam negara," katanya.

Mohd Azmi berkata kepada pemberita pada sidang media selepas majlis perasmian Program Perdana Bermalam di Muzium yang disertai 100 pelajar di Muzium Taiping di sini hari ini yang disempurnakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong Datuk Mohamad Kamil Shafie.

Sebanyak 32 muzium terlibat dengan sejumlah 2,050 pelajar menyertai program bermalam di muzium di seluruh negara yang bermula malam ini sehingga esok.

Sementara itu, Mohamad Kamil berkata muzium Taiping merupakan muzium tertua di negara ini dan ia menjadi muzium terpenting untuk dilawati dan dikunjungi para pengunjung.

"Pelajar yang bermalam di sini boleh  mempelajari budaya di sini dalam memastikan mereka menjadi warga negara yang mempunyai semangat patriotisme dan jati diri yang tinggi," katanya.

Muzium Taiping merupakan muzium pertama wujud di negara ini pada 1883 yang berusia 134 tahun.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel