English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Senarai Berita
Arkib Berita
Pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Selangor
Kerajaan Negeri Sembilan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Perbadanan Putrajaya

Berita Tengah

November 09, 2012 20:04 PM

Pathmanabhan Beli Ladang Gadong Untuk Ternak Ayam Dan Anjing

SHAH ALAM, 9 Nov (Bernama) -- Perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini Jumaat diberitahu bahawa tertuduh pertama, N Pathmanabhan membeli Ladang Gadong di Banting yang dikatakan menjadi lokasi pembunuhan empat individu itu kerana ingin menjalankan perniagaan menternak ayam dan anjing.

Tertuduh keempat, R Kathavarayan, 32, berkata perkara itu diberitahu kepadanya oleh Pathmanabhan semasa tertuduh (Kathavarayan) sedang membantu bekas peguam itu menyelia kerja-kerja pengubahsuaian di pejabat barunya di Banting pada 2009.

"Selepas Pathmanabhan beritahu dia beli ladang untuk buat perniagaan, saya juga berminat lalu bekerja dengannya. Pada awalnya Pathmanabhan bercadang untuk jalankan perniagaan ayam dan anjing tetapi selepas (perniagaan) dimulakan kami mula bela banyak jenis ternakan," katanya pada pemeriksaan utama oleh peguamnya Ravi Nekoo.

Kathavarayan bersama-sama Pathmanabhan, 43, T Thilaiyalagan, 21, dan R Matan, 22, diperintah membela diri atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya Ravi mengapa Pathmanabhan berbincang dengannya untuk menjalankan perniagaan itu, Kathavarayan berkata: "Pathmanabhan tanya sama ada saya boleh buat perniagaan ayam itu dan saya kata boleh, kemudian kami pun mulakan perniagaan itu."

"Awak ada pengalaman dalam membela ayam," soal Ravi.

"Saya tiada sebarang pengalaman dalam menternak ayam tetapi saya tahu tentang perniagaan itu dan ada pengalaman dalam perniagaan membela anjing," jawab Kathavarayan yang pertama kali berjumpa dengan Pathmanabhan pada 2000.

Saksi keempat pembelaan itu berkata ketika pertama kali Pathmanabhan membawanya ke Ladang Gadong, dia melihat ladang itu penuh dengan pokok kelapa sawit dan lalang manakala tanahnya berwarna hitam.

Selain itu, Kathavarayan berkata terdapat sembilan lagi ladang milik individu lain yang terletak di sebelah kiri Ladang Gadong.

"Tahu apa perniagaan atau aktiviti di sembilan ladang itu," soal Ravi.

"Tiga ladang jalankan perniagaan ayam, seorang pemilik Cina jalankan perniagaan buah longan, dua lagi membela lembu, dua lagi ada kebun sayur-sayuran dan membela kambing sementara satu lagi ladang kosong hanya ada pokok kelapa sawit," jawab Kathavarayan.

"Ada atau tidak ternakan (di Ladang Gadong) pernah dijual," soal Ravi.

"Ya, urusniaga bermula awal 2010 di mana ayam, saya akan hantar ke pasar dan ramai juga kenalan saya biasa datang beli ayam di ladang. Bagi perniagaan anjing pula, saya akan jual anak anjing ke pet shop (kedai haiwan) dan ada juga rakan beli anjing di ladang," jawab tertuduh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung pada 3 Dis ini.



-- BERNAMA

 

©2014 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel