English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Selangor
Kerajaan Negeri Sembilan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Perbadanan Putrajaya

Berita Tengah

February 09, 2018 13:49 PM

Kastam Rampas Rokok, Minuman Keras Seludup Bernilai RM3.1 Juta


PETALING JAYA, 9 Feb (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas barang seludup berupa minuman keras dan rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta di dua buah gudang di Klang dan dan Shah Alam, pada Isnin lepas.

Pengarah Jabatan Kastam Kuala Lumpur Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata kesemua barang berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran untuk perayaan Tahun Baharu Cina serta dijual di pasaran tempatan.

Beliau berkata dalam serbuan pertama di sebuah gudang di Jalan Ikan Bawal, Klang sebanyak 50,922 liter bir pelbagai jenama bernilai RM294,881 melibatkan duti/cukai sebanyak RM731,979 telah disita.

"Dalam serbuan itu, JKDM berjaya menyita sebanyak 10,050 karton kotak rokok putih bernilai RM316,800 melibatkan duti/cukai sebanyak RM1.2 juta."

"Pada masa sama, JKDM menahan dua lelaki dan dua wanita tempatan berumur lingkungan 21 tahun hingga 51 tahun untuk siasatan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang larangan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kastam Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dalam serbuan kedua, pada hari sama, Zulkurnain berkata JKDM turut menyerbu sebuah gudang di Seksyen U5, Shah Alam dan menyita sebanyak 2,797 karton kotak rokok putih bernilai RM100,692, melibatkan duti/cukai RM361,819.

"Dalam kes ini, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang larangan."

"Rokok dan minuman bir merupakan barang larangan import yang memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan Ketua Pengarah JKDM, perbuatan menyimpan barang berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 jika sabit kesalahan mahkamah boleh mengenakan denda," katanya.

Beliau berkata modus operandi dalam kedua-dua kes ini ialah barang larangan seperti rokok dan minuman keras disimpan di dalam gudang persendirian syarikat logistik yang kemudian diedar ke pasaran tempatan.

Zulkurnain berkata JKDM meminta orang ramai memberi kerjasama kepada JKDM dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan penyeludupan yang diketahui seperti rokok, minuman keras, mercun dan kenderaan dengan menghubungi talian 03-78036568 atau talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855.

"Saya memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan dan pemberi maklumat berdaftar akan diberi ganjaran dalam bentuk wang tunai bagi setiap maklumat yang berjaya menghasilkan kes," katanya.

-- BERNAMA

 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel