English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Selangor
Kerajaan Negeri Sembilan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Perbadanan Putrajaya

Berita Tengah

January 03, 2018 20:09 PM

Jenazah Tengku Aris Temenggong Selangor Dimakamkan Di Makam Diraja Klang


KLANG, 3 Jan (Bernama) -- Tengku Aris Temenggong Selangor, Tengku Datuk Setia Muhammad Yusof Shah Alhaj, nenda saudara kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mangkat pagi tadi selamat dimakamkan di Makam Diraja Klang, di sini petang ini.

Almarhum mangkat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini, pada pukul 11.15 pagi, pada usia 91 tahun kerana sakit tua.

Almarhum yang diputerakan pada 28 April 1926, merupakan seorang daripada 25 putera Sultan Selangor kelima, Almarhum Sultan Sir Ala'eddin Sulaiman Shah Alhaj.

Terdahulu, jenazah Tengku Muhammad Yusof Shah dimandi dan disolatkan di Masjid Istana Diraja di Istana Alam Shah di sini, dengan dipimpin oleh Imam Paduka Tuan Mohd Rasid Mahful.

Jenazah kemudiannya dibawa menaiki van jenazah ke Makam Diraja tersebut.

Menggunakan pengusung diraja dan diiringi Jejawat Diraja, jenazah Tengku Muhammad Yusof Shah dibawa ke makam dan selamat dimakamkan pada 6.30 petang.

Turut berangkat menziarahi jenazah Almarhum ialah Sultan Sharafuddin, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Sultan Sharafuddin memulakan upacara menyiram air mawar diikuti Tengku Permaisuri Norashikin, Tengku Amir Shah dan anggota-anggota lain kerabat Diraja.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri Datin Seri Shamsidar Taharin.

Selain kerabat Diraja dan Orang-orang Besar Istana Selangor, rakyat jelata turut memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum yang merupakan Anak Raja Bergelar serta kerabat diraja Selangor tertua.

-- BERNAMA

 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel