English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Selangor
Kerajaan Negeri Sembilan
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Perbadanan Putrajaya

Berita Tengah

January 02, 2018 17:21 PM

Jenazah Dua Anak Lemas Di Rembau Dikebumi Di Sepri - Bapa

SEREMBAN, 2 Jan (Bernama) -- Jenazah dua pelajar yang ditemukan mati lemas pagi ini selepas keluar menjala petang semalam di Sungai Pedas, Kampung Merbau 9, Pedas akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sepri, Rembau, menurut bapa kedua-dua pelajar itu.

M Sadri Yaakub, 47, dan Rosli Mihat, 49, berkata walaupun sedih namun mereka reda dengan ketentuan Allah.

"Semalam adalah panggilan (telefon) saya yang terakhir kepada arwah... semata-mata untuk mengajaknya membeli baju sekolah, namun tidak berjawab. Saya reda," kata Rosli penuh sebak.

M Sadri pula berkata kali terakhir dia bertemu anaknya ialah pada pukul 11 pagi semalam, sebelum remaja itu keluar untuk menjala di sungai berkenaan.

"Saya mengetahui mengenai kejadian tersebut selepas dimaklumkan jiran bahawa anak saya lemas bersama dengan dua lagi rakannya di sungai dan saya kemudian terus bergegas ke lokasi kejadian," katanya sayu.

Kedua-dua mereka ditemui pemberita di perkarangan bilik mayat Hospital Tuanku Jaafar di sini, hari ini ketika menunggu proses bedah siasat selesai untuk menuntut jenazah anak masing-masing.

Muhammad Alias M Sadri, 15, dan Muhamad Syafiq Rosli, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pedas, masing-masing ditemukan sudah tidak bernyawa pada pukul 10.22 pagi dan 11.07 pagi ini, kira-kira 10 meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang ketika mandi selepas menjala di sungai itu semalam.

Selain Muhamad Syafiq dan Muhammad Alias, seorang lagi mangsa Muhammad Iqqmal Haziq Muhammad Nozili, 12, pelajar Sekolah Kebangsaan Undang Rembau turut ditemukan mati lemas, kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian pada 10.15 malam tadi.

-- BERNAMA



 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel