English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

February 08, 2018 23:34 PM

Hasrat 10 Beradik Berbahagi Harta Pusaka Tidak Kesampaian

KUALA TERENGGANU, 8 Feb (Bernama) -- Hasrat 10 beradik berbahagi harta pusaka tidak kesampaian apabila rumah pusaka mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Panji, Wakaf Beruas petang tadi.

Wan Othman Wan Dagang, 66, berkata beliau dan adik-beradiknya ingin membahagikan harta pusaka peninggalan arwah ayahnya pada bulan puasa yang akan datang tetapi tidak sempat apabila kesemuanya musnah dalam kebakaran itu.

"Sayu rasa apabila kita tidak boleh melihat satu pun barang-barang peninggalan daripada orang tua kita kerana habis menjadi abu.

Mula-mula saya dengar letupan dan saya ingat ia bunyi mercun tapi pelik bila banyak kali dengar, lantas saya keluar untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut bila tengok rumah pusaka kami terbakar," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Wan Othman yang merupakan saksi pertama yang melihat kebakaran tersebut pada awalnya meluru ke tempat kejadian kerana menyangka adiknya Wan Azhar,45, sedang tidur di rumah itu.

Beliau kemudian bertindak melaporkan kebakaran tersebut kepada pihak bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata bomba menerima panggilan pada pukul 4.55 petang dan 18 anggota serta tiga jentera diarahkan ke lokasi.

Menurut Rozizah pihak bomba mengambil masa tujuh minit untuk mengawal kebakaran dan berjaya menyelamatkan dua rumah berhampiran yang dianggarkan bernilai RM250,000 termasuk sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipakir di hadapan rumah daripada terbakar.

Kerugian kebakaran tersebut dianggarkan sebanyak RM100,000 dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan, katanya.

-- BERNAMA

 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel