English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Kelantan
Kerajaan Negeri Terengganu
Kerajaan Negeri Pahang

Berita Timur

January 03, 2018 22:00 PM

Tengku Abdullah Mahu Pengurusan Bantuan Dijalankan Secara Teliti

ROMPIN, 3 Jan (Bernama) -- Pusat pengurusan bencana daerah diharap dapat menyelaraskan kerja-kerja pengagihan bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir secara teliti, agar tidak berlaku pertindihan.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, perkara itu juga dapat membantu menjimatkan banyak perkara penting seperti masa dan tenaga ketika bencana berkenaan berlaku.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan pengurusan banjir di negeri ini...semuanya berjalan dengan baik, cuma saya tidak mahu sebilangan mangsa sahaja diberi tumpuan, tetapi ada pula yang tercicir sedangkan mereka juga perlukan bantuan.

"Jika ia berlaku, maka banyak perkara seperti masa dan tenaga menjadi sia-sia padahal kekuatan yang ada amat penting dalam memastikan mangsa menerima bantuan perlindungan yang lebih selesa dan selamat," titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian ketika melawat mangsa banjir di Balai Raya Kampung Sepayang dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan pihak pengurusan yang mentadbir pengagihan barang keperluan mangsa agar menyerahkannya kepada mereka yang benar-benar memerlukan sahaja.

"Barang bantuan adalah untuk mereka yang menjadi mangsa banjir sahaja, mereka yang tidak terlibat seharusnya tidak ambil kesempatan...jika mereka ambil juga, jelas ia tidak halal di sisi agama.

"Saya berharap tiada yang bersikap tidak bertanggungjawab dalam menjaga amanah yang diberi termasuk penduduk setempat yang tidak terlibat banjir," titah baginda.

Dalam masa yang sama baginda turut menasihatkan ibu bapa agar memantau pergerakan anak masing-masing agar tidak mendekati kawasan banjir.

"Saya faham kita akan sibuk menguruskan diri dan keluarga di pusat pemindahan, tapi dalam masa yang sama perhatikan juga anak-anak...jangan biar mereka bermain dekat longkang atau sungai.

"Kita tidak mahu musim tengkujuh ini menjadi musim tragedi...malang tidak berbau, jadi kawal anak masing-masing dengan baik," titah baginda.

-- BERNAMA

 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel