|
|
Berita Sarawak
|
September 25, 2012 18:09 PM |
|
Kementerian Pertahanan Bakal Laksana Dua Projek Jiwa Murni Baru Di Sarawak
MIRI, 25 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertahanan akan melaksanakan dua projek Jiwa Murni yang dijangka siap dalam tempoh setahun hingga dua tahun di kawasan pergunungan Ba'Kelalan ke Bario di utara Sarawak dengan tempoh mula pelaksanaan pada 1 Okt depan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Ismail Ahmad berkata dua projek tersebut ialah pembinaan jalan sepanjang 50km di kawasan pergunungan Ba'Kelalan ke Bario bernilai RM42 juta yang akan bermula Isnin depan dan berakhir pada 14 Mei 2015.
"Mulai 1 Okt juga projek membina empat buah jambatan dari Bario ke Kampung Pa'Dalik akan dibina dan dijangka siap pada 14 Mei 2013," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke tapak projek berkenaan di sini Selasa.
Ismail berkata antara cabaran utama bakal dihadapi oleh tentera dalam projek Jiwa Murni ialah keadaan geografi kawasan projek kerana bentuk muka bumi yang curam serta hutan tebal yang belum diteroka oleh manusia sebelum ini.
Beliau berkata dua projek Jiwa Murni yang sedang dilaksanakan sekarang berjalan lancar mengikut jadual iaitu projek naik taraf jalan Kampung Teniku ke Sungai Baram dan membina jalan dari Kampung Mejawah Bakun ke Belaga.
-- BERNAMA
|
|
|
|