English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Sarawak
Ketua Menteri Sarawak

Berita Sarawak

January 03, 2018 23:52 PM

Remaja Disambar Buaya Ketika Pancing Udang

BETONG, 3 Jan (Bernama) -- Seorang remaja lelaki yang sedang memancing udang bersama-sama sepupu lelakinya di tebing Sungai Dit di Kampung Melayu Dit, Debak dekat sini disambar buaya kira-kira 5.30 petang hari ini.

Kejadian yang menimpa mangsa dikenali sebagai Abang Mohamad Haikal Abang Suip, 13, yang tidak lagi bersekolah itu dilaporkan kepada pihak polis Debak oleh sepupunya Senie Bujang, 54, pada 7.45 petang.

Dalam laporannya, Senie yang merupakan kakitangan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Bahagian Miri yang sedang bercuti menyatakan mereka memancing di tebing sungai itu sejak 5 petang, sebelum mangsa yang berada kurang dua meter di hadapannya tiba-tiba disambar buaya.

"Pengadu telah berteriak meminta pertolongan orang kampung. Kejadian belaku dalam sekelip mata sahaja. Mangsa terus dibawa ke dasar sungai," kata Ketua Polis Daerah Betong, DSP Mohd Fahdil An Tum Abdullah ketika dihubungi malam ini.

Orang kampung berusaha mencari dengan perahu dan memasang jaring serta menggunakan jala tetapi gagal menemui mangsa.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Betong, James William Ngang berkata, panggilan mengenai kejadian itu diterima pihaknya pada 6.11 petang dan satu pasukan lima anggota Bomba dan Penyelamat serta aset telah digerakkan ke lokasi.

Sehingga operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada 9.45 malam, mangsa belum ditemui.

Operasi turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Betong, Polis Betong dan Debak serta penduduk kampung.

Beliau berkata, operasi SAR akan disambung pada 8 pagi esok.

-- BERNAMA

 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel