English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Sarawak
Ketua Menteri Sarawak

Berita Sarawak

November 10, 2017 18:26 PM

ADUN BN Sarawak Sokong Pindaan Kanun Tanah Negeri

KUCHING, 10 Nov (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak bersetuju sepenuhnya supaya Kanun Tanah Sarawak dipinda, dan bukan seperti yang didakwa oleh pihak serta individu tertentu dalam media sosial, kata pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Paulus Palu Gumbang.

Paulus berkata bantahan oleh 50 Anggotan Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN terhadap Rang Undang-undang persendirian yang dicadangkan oleh Baru  Bian (PKR-Ba'kelalan) semalam disebabkan Rang Undang-undang itu melanggari Perintah Tetap.

Katanya pindaan yang diperkenalkan oleh Baru itu hanyalah untuk meminda satu seksyen daripada kanun tanah, iaitu Seksyen 2, tanpa memberi pertimbangan kepada seksyen lain Kanun Tanah Sarawak yang juga relevan.

Paulus berkata ketua menteri telah menyatakan komitmen dalam isu ini, yang dapat dilihat menerusi penubuhan Pasukan Petugas diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

"Seperti yang kita maklum, kerajaan negeri telah pun menubuhkan Pasukan Petugas untuk meneliti pindaan yang menyeluruh dan holistik terhadap Kanun Tanah Negeri.

Sehubungan itu, kita seharusnya memberi masa yang cukup kepada Pasukan Petugas Khas ini untuk menyiapkan tugas mereka dan memberi cadangan lanjut, terutamanya ke atas seksyen yang relevan untuk dipinda," katanya pada persidangan media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Semalam, Baru mengemukakan usul supaya pindaan dilakukan terhadap Kanun Tanah Sarawak bagi mengiktiraf Pulau Galau Pemakai Menua  atau rizab hutan bersama.

Usul itu dibantah oleh 50 ADUN daripada BN manakala 10 ADUN daripada Pakatan Harapan menyokong Rang Undang-undang itu.

Berikutan  penolakan usul itu, ADUN daripada BN didakwa menolak pindaan kanun tanah itu seperti yang viral dalam media sosial.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel