English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Sarawak
Ketua Menteri Sarawak

Berita Sarawak

November 10, 2017 16:54 PM

PEBEDAS Anjur Festival Sape Pada 2 Dis

SIBU, 10 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Belia Dayak Sarawak (PEBEDAS) dengan kerjasama Kelab Sape Dayak Sibu (KSDS) akan menganjurkan Festival Sape Belia Borneo (BYSF) pada 2 Dis ini di Kampung Budaya 1Malaysia di sini.

Festival alat muzik suku kaum Dayak yang julung kalinya diadakan itu akan menampilkan artis sape bertaraf antarabangsa seperti Jerry Kamit, At Adau, Desmond Emang, Saufi Aiman Yahya, Ilu Leto, Ferinandus Lah, Eugene Kuek, Julien Cottet Of France dan Solomon Gau & Son.

Turut beraksi ialah kumpulan sape tempatan seperti Ethnic Revolution, Jackery Chukan & Band, Borneo Spectrum, KSDS dan The Collabration - Gendang Pampat.

"BYSF akan bermula dari jam 9 pagi hingga jam 12 tengah malam di mana festival seharian ini padat dengan pelbagai aktiviti," kata Presiden PEBEDAS yang juga pengerusi penganjur (BYSF) Alexander Frederick Diglin di sini hari ini.

Antara aktiviti tersebut adalah pameran, jualan sape, bengkel, demonstrasi sape dan diikuti pertandingan sape yang melibatkan kategori berkumpulan dan solo dengan yuran penyertaan masing-masing sebanyak RM100 dan RM50.

"Kita juga sedang berusaha mencipta Malaysia Book Of Records (MBOR) untuk perhimpunan bermain sape teramai serentak pada tengahari hari tersebut," kata Frederick.

Melalui festival itu juga, PEBEDAS mahu menggunakan sape bagi menjulang nama Sibu dan menarik pengunjung luar datang ke sini serta berusaha menjadikan BYSF sebagai sebuah acara antarabangsa tahunan di sini.

Menurut beliau, muzik sape kian digemari oleh generasi muda daripada pelbagai latar belakang.

Katanya lagi, tiket masuk untuk menyaksikan BSYF itu akan dijual dengan harga RM48 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak di bawah umur 15 tahun.

Tiket boleh diperoleh dengan menghubungi Dalas Robert di talian 013-8450934 atau Jackery Chukan (019-8390839).

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel