English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Sarawak
Ketua Menteri Sarawak

Berita Sarawak

November 10, 2017 15:30 PM

Isu Sekolah Daif Terus Dibahas Di Sidang DUN Sarawak

KUCHING, 10 Nov (Bernama) -- Isu sekolah daif di Sarawak terus dibahaskan pada hari ketiga persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini dengan seorang penyokong kerajaan menarik perhatian DUN bahawa di samping lebih 1,000 buah sekolah daif di Sarawak, terdapat juga kes projek sekolah lewat disiap.

Menurut Simoi Peri (BN-Lingga), isu berkenaan sekolah daif adalah keperluan mendesak bagi negeri Sarawak, sambil memetik laporan media bahawa Sarawak memerlukan RM3 bilion untuk membaiki lebih 1,000 sekolah daif di seluruh negeri ini.

"Walaupun kerajaan pusat memperuntukkan RM1 bilion untuk tujuan itu dalam Bajet Negara 2018, namun jumlah itu jauh lebih rendah daripada yang sepatutnya," katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2018 pada persidangan DUN Sarawak di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri melihat dan mengkaji seterusnya menyediakan pelan tindakan yang konkrit bagaimana isu sekolah daif ini dapat diselesai.

"Kita tidak boleh lagi memperjudi dan menafikan hak-hak anak-anak kita, terutamanya anak-anak luar bandar daripada capaian kemudahan pelajaran yang baik dan selesa. Kita harus sedar bahawa pendidikan adalah ubat yang paling mujarab kepada kemiskinan," katanya.

Untuk mengatasi masalah projek lewat siap, beliau mencadangkan semua peruntukan persekutuan disalurkan terus kepada kerajaan negeri dan agensi yang berkenaan untuk membolehkan pengurusan projek secara lebih efektif sertaefesien.

Dalam menyatakan sokongan beliau terhadap Belanjawan Negeri 2018, Simoi berkata ia akan mampu melonjakkan pembangunan negeri kerana 70 peratus daripada jumlah keseluruhan adalah untuk pembangunan.

Datuk Ding Kuong Hiing (BN-Meradong) pula memuji Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana membentangkan belanjawan yang komprehensif dan bermatlamatkan pembangunan yang akan terus merangsang aktiviti ekonomi yang diperlukan dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi bagi 2018.

Beliau berkata RM1 bilion daripada RM5.78 bilion yang dicadangkan bagi 2018, merupakan peruntukan bagi infrastruktur digital dan program berkaitan di bawah inisiatif Ekonomi Digital Sarawak, menunjukkan kerajaan negeri serius dan komited untuk menjadi peserta utama dalam ekonomi digital di masa depan.

Sementara itu, Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) yang berpendapat transit aliran ringan (LRT) tidak berdaya maju dan tidak seharusnya dibina di Sarawak, mencadangkan agar perkhidmatan bas percuma di bandar besar dilaksanakan di Sarawak untuk membantu mengurangkan kos pengangkutan, terutamanya di kalangan pekerja.

Beliau mencadangkan sekurang-kurangnya 200 buah bas bagi Kuching sebagai projek perintis, dan menambah, perkhidmatan bas percuma itu bertujuan mengurangkan kos sara hidup, menyurai kesesakan lalu lintas, meningkatkan pendapatan boleh guna bagi kalangan pekerja, merangsang ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Dalam perbahasan itu, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan pembinaan sistem landasan kereta api rentas Sarawak, bukan hanya untuk mengangkut penumpang tetapi juga kargo.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel