English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Senarai Berita
Arkib Berita
Pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Johor
Kerajaan Negeri Melaka

Berita Selatan

June 17, 2011 16:06 PM

Bekas Polis Yang Berkhidmat Sepanjang Darurat Bakal Terima Imbuhan

MELAKA, 17 Jun (Bernama) -- Seramai 50,000 bekas anggota polis di seluruh negara yang berkhidmat di zaman darurat bakal menerima imbuhan daripada kerajaan, kata Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia Shafie Bakri.

Beliau berkata imbuhan itu merupakan satu usaha bagi menjaga kebajikan bekas polis yang berkhidmat semasa darurat dari tahun 1948 hingga 1960 di Tanah Melayu dan 1962 hingga 1974 di Sabah dan Sarawak.

"Perjanjian persefahaman telah pun dibuat bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mana kami mencadangkan beberapa imbuhan buat bekas anggota polis ini," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Ke-35 Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Melaka di Dewan Hang Tuah, Jalan Hang Tuah di sini, Jumaat.

Shafie berkata antara cadangan yang diberikan adalah sumbangan ikhsan untuk bekas anggota polis itu.

"Bekas anggota polis ini tidak memiliki pencen ataupun sebarang imbuhan disebabkan pada zaman perlantikan mereka, ia diadakan secara ad hoc atau beramai-ramai dan syarat perlantikan pada ketika itu tidak diterangkan," katanya.

Shafie berkata cadangan lain seperti Pingat Jasa Pasukan Polis bagi bekas anggota polis dan juga anggota polis yang masih berkhidmat.

"Pingat ini bertujuan mengenang jasa baik bekas anggota polis yang berkhidmat di zaman darurat dan juga anggota polis yang masih lagi berkhidmat yang telah banyak berkorban demi mempertahankan negara," katanya.

Selain itu, Persatuan Bekas Polis Malaysia turut mencadangkan agar bahagian hal ehwal bekas polis dinaik taraf menjadi jabatan hal ehwal veteran bekas polis bagi menjaga kebajikan bekas anggota polis.

"Harapan kami dengan adanya jabatan ini, ia akan membuat bajet sama seperti peranan Jabatan Hal Ehwal Bekas Tentera dalam membela kebajikan bekas-bekas polis di seluruh negara," katanya.



-- BERNAMA

 

©2014 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel