English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Johor
Kerajaan Negeri Melaka

Berita Selatan

February 08, 2018 20:29 PM

Polis Tumpas Dua Geng Pecah Tabung Wang Rumah Ibadat

MELAKA, 8 Feb (Bernama) -- Polis Melaka menumpaskan dua geng pecah tabung wang rumah ibadat penganut Buddha dan Islam yang aktif di sekitar daerah Alor Gajah di sini sejak November tahun lepas hingga awal bulan ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Jalil Hassan berkata polis menahan sembilan anggota Geng Firdaus Botak termasuk seorang wanita, semuanya berumur 18 hingga 32 tahun yang melakukan kegiatan pecah tabung tokong di sekitar daerah Alor Gajah melibatkan kerugian antara RM8,000 hingga RM10,000.

Beliau berkata kejayaan itu hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sebuah tokong di Rembia, Alor Gajah dekat sini yang merakam kejadian kumpulan itu memecah masuk tokong itu kira-kira 2 petang 26 Jan lepas.

"Pihak polis telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menjejaki geng berkenaan, dan berdasarkan CCTV itu tangkapan pertama melibatkan lima suspek geng itu tiga jam kemudian (selepas pecah masuk tokong di Rembia) di Batu Berendam," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Katanya tangkapan kedua melibatkan empat lagi anggota geng berkenaan yang ditahan di sekitar negeri ini dalam tempoh 24 jam daripada kejadian pecah masuk tokong di Rembia dan siasatan awal mendapati geng itu diketuai lelaki dikenali 'Firdaus Botak' berumur 23 tahun serta dianggotai isterinya berusia 19 tahun.

"Geng berkenaan dipercayai terlibat dalam 17 kes pecah tabung wang tokong di sekitar negeri Melaka dengan lapan daripada mereka yang ditahan positif dadah jenis Methaphetamine dan motif mereka adalah untuk mendapatkan wang bagi membeli bekalan dadah," katanya.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata jenayah pecah tabung wang masjid yang dilakukan Geng Siti Jeram pula ditumpaskan dengan penangkapan seorang wanita berumur 32 tahun yang dikenali sebagai Siti dari Kampung Jeram, Masjid Tanah di sebuah rumah di kampung tersebut kira-kira 2 pagi pada 2 Feb lepas.

Beliau berkata wanita tersebut didapati melakukan jenayah tersebut bersama anak lelakinya yang berusia 13 tahun dan rakan lelaki anaknya, 20, di sebuah masjid di Kampung Rantau Panjang di sini melibatkan kerugian antara RM20 hingga RM30 kira-kira 10.20 malam pada 1 Feb lepas.

"Geng tersebut ditumpaskan berdasarkan rakaman CCTV yang dipasang di masjid tersebut dan ketika ditahan ketiga-tiga mereka sedang khayal dan postif dadah jenis Methaphetamine. Kita juga berjaya menahan seorang lelaki berumur 27 tahun di sekitar Masjid Tanah sehari selepas penangkapan Geng Siti Jeram dan suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan geng berkenaan," katanya.

Katanya siasatan awal mendapati lelaki berkenaan turut terlibat dalam lima kes pecah tabung wang masjid di daerah Alor Gajah di sini dan motif penglibatan dalam jenayah tersebut turut dipercayai untuk mendapatkan wang bagi membeli bekalan dadah.

Dalam pada itu, beliau berkata pihak pengurusan masjid dan tokong di negeri tersebut dinasihatkan memasang CCTV sebagai langkah keselamatan dan membantu pihak polis menjejaki suspek yang melakukan jenayah di rumah ibadat tersebut.

-- BERNAMA

 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel