English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Johor
Kerajaan Negeri Melaka

Berita Selatan

February 08, 2018 12:30 PM

Dua Anggota Polis Didakwa Terima Rasuah RM10,000

SEREMBAN, 8 Feb (Bernama) -- Dua anggota polis berpangkat koperal dan konstable mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,000, daripada seorang peniaga, empat tahun lepas.

Koperal Mohd Fairuz Abd Jalil, 37, dan Konstable Norfazlizan Mat Zain, 34, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, mereka berdua didakwa secara bersama menerima RM3,000, RM5,000 dan RM2,000 daripada peniaga Chan Heng Loy, 63, sebagai dorongan untuk melepaskan, menyelesaikan dan tidak mengambil tindakan kerana membawa dan menjual rokok seludup di sekitar Taman Kiara, Sikamat, Seremban.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Sikamat, sebelah bangunan Kedai Serbaneka Seven Eleven, Taman Sri Pulai, Sikamat dan Pangsapuri Markisa, Berek Balai Polis Sikamat, masing-masing pada 7.30 malam dan 7.40 malam, 7 Dis 2014 dan 4.20 petang, 31 Dis 2014.

Mohd Fairuz dan Norfazlizan yang bertugas di Bahagian Tugasan Am Balai Polis Sikamat, Seremban didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurdiyanah Mohd Nawawi memohon mahkamah menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai ke atas Mohd Fairuz manakala RM21,000 dengan seorang penjamin ke atas Norfazlizan.

Mohd Fairuz dalam rayuannya melalui peguam Mohd Haijan Omar memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan rendah memandangkan dia telah pun ditamatkan perkhidmatan serta perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan empat anak yang masih kecil.

Norfazlizan pula yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan jumlah jaminan yang rendah memandangkan beliau perlu menanggung tiga anak yang masih kecil dan isteri yang tidak bekerja.

Fathiyah bagaimanapun meminta supaya surat pemberhentian kerja diserahkan kepada mahkamah.

Beliau kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 seorang bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin. Mohd Fairuz membayar jaminan. Kedua-dua tertuduh membayar jaminan.

Mahkamah menetapkan 9 Mac sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 
 

©2018 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel