English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Johor
Kerajaan Negeri Melaka

Berita Selatan

October 07, 2017 16:12 PM

Lembu Sado, Ayam Eksotik Mengujakan Pengunjung Ekspo Johor

Oleh Remar Nordin

ISKANDAR PUTERI, 7 Okt (Bernama) -- Pameran lembu 'Sado' mengujakan pengunjung Ekspo Johor Berkemajuan 2017 yang masuk hari kedua hari ini.

Sebanyak lapan ekor lembu pelbagai baka seperti Belgium Blue, Hereford, Murray Gray dan Limousin diperlihatkan kepada orang ramai.

Presiden Persatuan Alumni Institut Veterinar Malaysia, Mohd Jalaludin Musa berkata lembu-lembu itu diternak di Johor bagi memenuhi permintaan bekalan daging tempatan selain lembu Jersey Fresian yang diternak untuk susu.

"Kebanyakan baka lembu ini diimport dari luar negara dan dibiakkan bersama lembu tempatan bagi melahirkan baka yang lebih baik dan sesuai dengan keadaan iklim tempatan.

"Lembu yang paling istimewa adalah lembu Limousin yang berasal daripada Perancis dan diternak di dalam negara melalui proses permanian berhadas," katanya kepada Bernama di ekspo itu.

Mohd Jalaludin berkata anak-anak lembu yang dilahirkan mempunyai kualiti yang lebih tinggi dan lebih tahan kepada penyakit dan suhu.

Beliau berkata selain itu anak-anak lembu melalui kadar pertumbuhan yang cepat di mana dalam tempoh setahun, setiap baka boleh mencecah berat lebih 500 kilogram (kg).

"Setakat ini lembu-lembu ini hanya diternak di Kota Tinggi," katanya dan menambah pihaknya berhasrat untuk mengkomersialkan  lembu-lembu ini di dalam negeri Johor.

"Selain jinak, lembu-lembu ini mampu menghasilkan kuantiti daging mentah yang banyak, berat matang yang tinggi iaitu 1,200 kg bagi lembu jantan dan 720 kg lembu betina.

"Pada bulan puasa lepas,  kita  menjual 400 ekor lembu Limousin dalam pasaran tempatan dan kita jangka jumlah ini akan meningkat," katanya.

Selain lembu, turut menarik perhatian ialah ayam perhiasan baka Jepun  atau ayam 'Onagadori' dan ayam Sumatera yang boleh dijual hingga mencecah RM15,000 yang dusahakan syarikat Marzuq Bayu Sdn Bhd (Marzuq).

Pengurus Pembangunan Perniagaan Marzuq, Mohamad Zulfadli Zahir berkata ayam perhiasan itu diimport daripada negara luar dan diternak di Muar untuk pasaran dalam negara dengan harga anak ayam RM200 sekor.

"Kita mempunyai 22 baka ayam perhiasan tetapi dua baka iaitu Onagadori dan Sumatera menjadi pilihan ramai berikutan ciri-ciri luarannya yang unik. Ayam Onagadori terkenal dengan ekornya yang panjang manakala ayam Sumatera pula terkenal dengan warna hitamnya," katanya.

Beliau berkata ayam eksotik tersebut mempunyai permintaan yang tinggi berikutan kuantitinya yang terhad yang mana dalam setahun, ayam ini hanya mampu bertelur dalam kuantiti tidak sampai 100 biji telur berbanding ayam biasa yang boleh bertelur sehingga tiga kali ganda daripada jumlah berkenaan.

Menurutnya, harga ayam Onagadori dinilai berdasarkan kepada warna putih-hitam dan warna merah-hitam mereka, manakala ayam Sumatera dinilai berdasarkan warnanya yang hitam kehijauan dan hitam kebiruan.

"Lagi unik warna ayam berkenaan maka lagi mahal harganya. Penternakan ayam ini secara besar-besaran kita lakukan di Selangor manakala di Muar kita jalankan pembiakan secara penyelidikan dan pembangunan (R&D)," jelasnya.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel