English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Sabah
Ketua Menteri Sabah

Berita Sabah

November 19, 2017 19:54 PM

Graduan Ijazah Kelas Pertama Hargai Program B40 UMS

KOTA KINABALU, 19 Nov (Bernama) -- Seorang graduan B40 yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Geografi) Kelas Pertama pada Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-19 hari ini melahirkan penghargaan kepada pihak universiti itu kerana memberinya peluang melanjutkan pelajaran melalui Program Merobah Idea Menjadi Realiti (Meniti), tiga tahun lepas.

Program Meniti diperkenalkan UMS pada 2013 bagi menawarkan tempat kepada pelajar pedalaman Sabah dengan kadar pendapatan keluarga mereka adalah di bawah pendapatan garis kemiskinan semasa atau 40 peratus terendah (B40).

Kelly Jauding, 23, yang turut menerima Hadiah Zainal Abidin Bador, adalah antara 84 pelajar daripada golongan B40 yang menerima ijazah pada konvokesyen tahun ini.

Berasal dari Kampung Dalamason, Kota Marudu, anak kelima daripada lapan beradik itu turut mengucapkan terima kasih kepada UMS kerana kunjungan mereka ke kampungnya bagi menghantar surat tawaran melanjutkan pelajaran pada 2014 telah memberi sinar baharu yang diyakini mampu merubah masa depan diri dan keluarganya.

"Tanpa program B40 UMS, mungkin saya tidak berada di sini untuk menerima ijazah saya, dan mungkin juga tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti serta membuktikan kemampuan diri saya dalam bidang akademik," katanya kepada pemberita selepas konvokesyen itu.

Selepas ditawarkan tempat di UMS, Kelly tidak mensia-siakan peluang itu malah terus komited untuk mencapai keputusan terbaik setiap semester.

Beliau juga tidak menjadikan kekangan kewangan keluarganya sebagai penghalang untuk cemerlang dalam pendidikan, meskipun terpaksa bergantung dengan abang dan kakaknya memberi kos perbelanjaan ketika di universiti memandangkan ibunya tidak bekerja dan bapanya sudah meninggal dunia.

"Kepada pelajar melanjutkan pelajaran menerusi program B40, sentiasa ingat matlamat dan tujuan masuk ke universiti. Jangan leka dan mesti belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan," katanya yang mendapat anugerah dekan sebanyak lima kali dalam tempoh pengajiannya.

Sekiranya tiada halangan, Kelly yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek, Kota Marudu bercadang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana dalam bidang geografi di UMS.

Pada konvokesyen kali ini, UMS menganugerahkan ijazah kepada 5,313 graduan masing-masing 59 penerima ijazah doktor falsafah, 576 (ijazah sarjana), 4,632 (ijazah sarjana muda) dan 46 (diploma).

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel