English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Sabah
Ketua Menteri Sabah

Berita Sabah

November 10, 2017 13:38 PM

Interaksi Bersemuka Perlu Dipupuk Sejak Pendidikan Awal - Yahya

PUTATAN, 10 Nov (Bernama) -- Kemahiran dan tatara interaksi bersemuka perlu dipupuk sejak awal pendidikan anak-anak agar mereka berupaya menguasai kemahiran itu menjelang dewasa, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin.

Yahya berkata kemahiran itu boleh diterapkan kepada generasi muda bukan sahaja melalui galakan interaksi antara murid dan guru ketika sesi pembelajaran di dalam kelas tetapi lebih penting interaksi antara sesama murid itu sendiri.

"Selain daripada itu, adab dan tatacara sewaktu berinteraksi dan berkomunikasi perlu turut sama diutamakan dan mereka juga harus dididik agar dapat berhubung dengan masyarakat sekeliling dalam suasana yang aman dan harmoni.

"Ini sejajar dengan semangat 1Malaysia yang menjadi tunggak kepada keamanan dan setia kawan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita. Kita mahu anak-anak ini berkawan dengan sesiapa sahaja, dan menghapuskan syak wasangka yang sentiasa bermain di benak orang dewasa seperti kita," katanya.

Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Petagas berkata demikian sempena Majlis Konvokesyen Prasekolah Sekolah Kebangsaan Tombovo 2017 di sini hari ini.Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Perhubungannya Aliudin Jumat.

Sementara itu, Yahya mengajak ibu bapa agar meneruskan usaha menggilap nilai-nilai murni dan kemahiran yang diterapkan pihak sekolah kepada anak-anak mereka agar nilai itu  terus subur sehingga mereka mencapai usia matang.

Katanya jika ibu bapa tidak mengambil serius perkara berkenaan, maka segala usaha yang telah dilakukan terhadap anak-anak mereka sepanjang berada di bangku prasekolah, akan menjadi sia-sia.

"Janganlah kita menjadi racun, yang membunuh benih-benih ini, ataupun menjadi sabit, yang 'menebas' dedaun yang menghijau apabila ia cukup subur," katanya.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel