English Version
Utara Selatan Timur Tengah Sabah &Sarawak
|Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
menu utama
laman utama
senarai berita
arkib berita
pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Sabah
Ketua Menteri Sabah

Berita Sabah

October 07, 2017 12:12 PM

Cabaran Besar Tangani Penyeludupan Di Tawau

Oleh Khatijah Jistoh

TAWAU, 7 Okt (Bernama) -- Dengan kawasan perairan antara Malaysia-Indonesia di Tawau boleh direntasi hanya dalam masa 20 minit jika menggunakan bot laju, maka aktiviti penyeludupan merentasi sempadan sukar ditangani.

Jarak antara Sungai Nyamuk di kawasan Indonesia dengan Tawau hanya empat batu.

"Ia cuma mengambil masa antara 10 hingga 20 minit untuk sampai antara dua destinasi ini," kata Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau, Kapten Maritim Romli Mustafa kepada Bernama.

Beliau berkata kerjasama antara penyeludup Indonesia dan Malaysia juga cukup pantas dengan pihak 'pengirim'  (penyeludup Indonesia) hanya perlu menunggu isyarat daripada pihak 'penerima' (penyeludup Malaysia) untuk mendapatkan 'line clear' sebelum penyeludupan (penghantaran) bermula.

"Penghantaran selalunya dilakukan pada waktu malam atau awal pagi. Ini menyukarkan pihak kami untuk memintas bot penyeludup yang laju dalam kegelapan malam.

"Ia mengelirukan kerana di laut terdapat bermacam-macam  cahaya dari bot-bot lain,"  kata Romli.

Beliau berkata penyeludup turut menggunakan perkampungan atas air untuk mendaratkan barang seludup terutama rokok.

"Joki (pembawa) yang menggunakan bot ringan yang kecil dan laju akan mendaratkan barangan seludup di bawah kolong rumah yang mana kapal penguat kuasa sukar memasukinya.

"Apabila APMM berjaya memintas bot penyeludup, selalunya joki akan terjun meloloskan diri di kawasan perkampungan atas air. Kalau kita mahu memasuki kawasan perkampungan, terdapat banyak pula jambatan sehingga boleh mengelirukan," katanya.

Beliau menambah joki amat mahir mengenai selok  belok perairan Tawau dan mempunyai jaringan komunikasi yang baik dengan pihak penerima barangan.

"Joki yang selalunya merupakan warga Indonesia atau Filipina sanggup  mengambil risiko  demi menerima  upah mahal yang bernilai RM1,000 bagi satu penghantaran," kata Romli.

Beliau berkata APMM turut berdepan dengan aktiviti 'spy' yang sentiasa mengintai pergerakan bot-bot pihak  penguat kuasa di laut.

Namun APMM dan agensi penguat kuasa lain seperti Pasukan Polis Marin (PPM) dapat mengenali  modus operandi penyeludup.

"Barangan seludup akan 'ditapuk' disembunyikan di dalam bot di bawah barangan yang mendapat kebenaran pihak berwajib.

"Apabila ditahan, juragan bot akan  sedaya upaya menerangkan kepada anggota penguat kuasa bahawa barang yang dibawa mereka adalah mengikut ketetapan undang-undang, tetapi setelah diselongkar baru ditemui barangan seludup," ujarnya.

Namun Romli berkata APMM tidak pernah berputus asa dalam menjaga perairan negara daripada aktiviti penyeludupan.

"Kita sentiasa mencari resipi dalam menggagalkan kegiatan pelaku penyeludup yang merugikan negara ini dan menghukum mereka," katanya.

Beliau berkata mulai awal tahun ini sehingga semalam, terdapat 24 kes seludup masuk dan keluar yang dibawa ke mahkamah yang meliputi kes seperti seludup tong gas, rokok dan migran.

Pada masa sama kerjasama antara APMM dan PPM dalam memantau perairan dan memeriksa serta memintas bot-bot penyeludup perlu diperkukuhkan lagi, katanya.

"Perlu juga terdapat sistem pemantauan di jeti-jeti yang digazetkan termasuk di jeti persendirian. Ia selaras dengan saranan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Hazani Ghazali berhubung pewujudan sea-check point di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dalam menangani jenayah rentas sempadan," katanya.

Romli berkata anggota masyarakat perlu turut tampil menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang yang berlaku di laut.

-- BERNAMA

 
 

©2017 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel